Tiada masalah untuk Parlimen bersidang ketika darurat, tegas Anwar


KETUA
Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tidak ada masalah untuk Parlimen bersidang walaupun semasa tempoh darurat berkuat kuasa.

Menguatkan hujahnya, Anwar mengambil contoh beberapa sektor seperti bola sepak dan panggung wayang yang kini telah boleh dijalankan.

“Jadi, ia menunggu keputusan Perdana Menteri. Kalau kita tahu dalam kaedah Perlembagaan dan institusi negara kita bahawa Yang di-Pertuan Agong memberikan pandangan begitu, maknanya memberi gambaran yang jelas bahawa pandangan kerajaan itu tidak tepat untuk menggantung Parlimen,” katanya.

Sebelumnya,  Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli parlimen pembangkang di parlimen untuk membincangkan pelbagai perkara.

Mereka berpandangan tiada sebab munasabah untuk Parlimen terus digantung.

"Maka apabila perdana menteri menegur Myanmar, sepatutnya Myanmar (pula boleh) tegur perdana menteri sebab tidak memiliki alasan munasabah menggantung parlimen," katanya.

Untuk rekod, pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Namun pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan tetap menegaskan persidangan Parlimen hanya akan bermula selepas tempoh darurat tamat.

Sementara itu, pertemuan semalam juga membincangkan beberapa isu termasuk pengambilan vaksin Covid-19, isu ekonomi dan kadar pengangguran yang semakin serius.

 Ahli Parlimen gesa  Parlimen bersidang
Menurut Anwar, angka-angka yang diberikan kerajaan mengenai situasi semasa pengangguran hanyalah untuk melunakkan orang ramai sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.

Ahli Parlimen yang hadir semalam juga jelasnya turut membincangkan isu pendidikan yang "haru-biru" kesan daripada keputusan dibuat secara tergopoh-gapah, termasuk membabitkan kekangan peranti untuk pelajar.


Post a Comment

0 Comments