Pelabur lari: KEADILAN tempelak alasan Azmin


KEADILAN
menempelak kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali yang menafikan negara kehilangan pelaburan asing daripada perbadanan multinasional (MNC) kepada negara-negara jiran.

Bendahari Agung parti itu, Lee Chean Chung menyifatkan alasan Azmin bahawa negara ini bersikap “lebih selektif” dengan hanya menarik pelaburan asing berkualiti sukar diterima dan dianggap alasan tidak munasabah.

ADUN Semambu itu memetik contoh penutupan operasi beberapa MNC di negara ini seperti IBM (31 Mei 2021) dan T-Systems (Nov 2020) yang menyebabkan kehilangan pekerjaan buat ramai pekerja.

“Mengapa ketika Azmin tengah bicarakan pelaburan berkualiti, tetapi MNC yang berkualiti memilih untuk meninggalkan Malaysia?

“Lebih malang lagi sehingga ke hari ini, tiada sebarang penjelasan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengenai sebab atau alasan syarikat MNC meninggalkan Malaysia,” katanya.

Kerajaan PN yang dikepalai Muhyiddin juga tegasnya tidak mengumumkan apa-apa penyelesaian untuk mengatasi kehilangan pelabur asing 'berkualiti' itu kepada orang ramai.

Sementara itu, Chean Chung turun memetik laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) berkata pelaburan asing ke Malaysia menjunam 68 peratus kepada hanya AS$2.5 bilion pada 2020.

Dengan membandingkan negara-negara jiran seperti Singapura yang berpendapatan tinggi serta Vietnam dan Indonesia yang berpendapatan sederhana terus mendapat pelaburan yang kukuh, Malaysia jelasnya mencatat prestasi yang terburuk di rantau Asia Tenggara.
 
"Pada tahun lalu dengan cabaran kesihatan sedunia dan ekonomi, Singapura berjaya mencatat aliran masuk pelaburan langsung asing sebanyak AS$ 58 bilion iaitu 23.2 kali ganda lebih banyak daripda Malaysia," kata ADUN Semambu itu dalam kenyataan.

“Penafian Azmin dan kerajaan PN tidak akan membantu kerajaan mengakui kelemahan struktur yang sedia ada seperti yang telah diketengahkan oleh Bank Dunia baru-baru ini serta mengenal pasti peluang pertumbuhan baru untuk mendorong negara ke tahap yang berikutnya,” tegas Lee lagi.

Azmin melalui laporan media baru-baru ini menafikan dakwaan kehilangan pelaburan asing ke negara jiran, dengan alasan negara kini sedang mengamalkan sikap selektif  bagi menarik pelaburan berkualiti.

Azmin juga berkata dakwaan bahawa MNC-MNC besar lari atau mengelak untuk melabur di Malaysia, bukanlah satu gambaran yang tepat. 

 Malaysia catat prestasi terburuk di Asia Tenggara
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan sebelum ini mengkritik sikap kerajaan dalam menangani isu 'kehilangan' pelabur asing.

Kerajaan Perikatan Nasional katanya bersikap seperti tidak ada apa-apa yang berlaku sehingga  meletakkan rakyat dalam keadaan tertanya-tanya mengenai tahap kemampuan kerajaan dikepalai Muhyiddin itu mentadbir negara.

Post a Comment

0 Comments