KEPUTUSAN syarikat gergasi International Business Machines Corporation (IBM) menutup operasi mereka di Cyberjaya pada 31 Mei ini dilihat sebagai perkembangan membimbangkan dalam sektor pelaburan di negara ini.
PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengulas penutupan operasi IBM berkata, ia selepas banyak pengumuman hampir sama oleh pelbagai syarikat gergasi yang kini mula meninggalkan Malaysia.
“Termasuk Hyundai dan Panasonic. Namun, terdapat juga laporan mengatakan terdapat negara lain di rantau ini yang berjaya mendapat kadar pelaburan cukup memberangsangkan dari syarikat-syarikat berasaskan teknologi yang tersenarai dalam Fortune 500,” katanya dalam kenyataan.
Keputusan IBM menutup operasi mereka di Cyberjaya dijangka akan menjejaskan kira-kira 3,000 pekerjaan bernilai tinggi.
Langkah itu menyusul keputusan syarikat IT Jerman, T-Systems dengan lebih 800 pekerja di Cyberjaya menarik diri dari Malaysia Nov tahun lalu.
Sementara itu Anwar berkata, perkembangan terkini itu meletakkan rakyat dalam keadaan tertanya-tanya mengenai tahap kemampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.
Kerajaan PN yang dikepalai Muhyiddin Yassin jelasnya kelihatan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
Bukan sekadar itu tambah Anwar, menteri kanan yang bertanggungjawab ke atas pelaburan asing menyatakan Malaysia mampu bersikap selektif dan berusaha mendapatkan pelabur besar sambil menolak pelabur berskala kecil.
“Setelah satu tahun berada di puncak kuasa, kerajaan PN masih gagal mendepani secara jujur persoalan terkait keberkesanan mereka sebagai kerajaan yang lemah tanpa mandat legislatif yang jelas.
“Ketika Malaysia terus kehilangan ribuan pekerjaan dalam sektor teknologi dan pembuatan kepada negara jiran di rantau Asean, kami sangat bimbang dengan rakyat yang terkesan dengan langkah ini, dan apakah kerajaan PN mempunyai kemampuan untuk menangani permasalahan ini,” katanya dipetik.
![]() |
Rakyat terkesan dengan kegagalan k'jaan |
0 Comments