Muhyiddin digesa jawab isu penyelesaiaan Goldman Sachs


SEORANG wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Menteri Muhyiddin Yassin bersikap telus dalam isu penyelesaian antara kerajaan dan Goldman Sachs.

Tony Pua berkata, ia penting supaya integriti kerajaan yang dipimpin Presiden Bersatu itu dapat dipertahankan terutama apabila wujud dakwaan bahawa bayaran besar dibuat kepada peguam yang mengendalikan isu itu.

Tambah Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu lagi, dakwaan tersebut dianggap sebagai "mengganggu" dan memerlukan penjelasan yang telus.

"Walaupun dengan kritikan keras oleh pembangkang dan masyarakat sivil, kerajaan Muhyiddin tetap enggan mendedahkan terma penyelesaian dengan Godlman Sachs, yang dianggap sebagai tidak memuaskan.

"Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjadikan legasi Muhyiddin tercemar seperti legasi Najib.

"Tiada ironi yang lebih besar jika dana yang diambil semula dengan begitu susah daripada Goldman Sachs - proses yang bermula ketika pentadbiran HARAPAN - untuk membayar hutang besar 1MDB yang berpunca daripada kleptokrasi Najib, kini sebahagiannya disalurkan untuk memberi manfaat kepada kepentingan politik Bersatu dan Muhyiddin.
 
"Perdana menteri perlu berhenti membisu dalam soal ini...untuk menamatkan keraguan yang dibangkitkan berkenaan perkara ini," tegasnya dalam kenyataan.
 
Gesaan tersebut dibuat Ahli Parlimen Damansara itu susulan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang membidas laporan polis yang dibuat pejabat Adun Kuang, Sallehudin Amiruddin yang mendakwa parti itu menerima RM500 juta sebagai komisen kerana membantu kerajaan mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan sebelum ini pula berkata, Malaysia terikat dengan klausa kerahsiaan dalam penyelesaiaan itu.

"Kerajaannya mungkin menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) - walaupun tidak perlu - dengan Goldman Sachs untuk penyelesaian yang dicapai, tetapi bayaran yang dibuat 1MDB kepada peguam tidak termasuk dalam NDA dan boleh didedahkan kepada rakyat," tambah Tony Pua.

Terdahulu, Bersatu menafikan sekerasnya yang bayaran guaman tinggi untuk penyelesaian dengan Goldman Sachs dibuat agar parti itu dapat menerima "komisen".

Seorang peguam yang rapat dengan Muhyiddin,  Rosli Dahlan membuat laporan polis terhadap bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Adam dan Sallehuddin Amiruddin berhubung dakwaan beberapa dakwaan berkait kes 1MDB dan penyelesaian Goldman Sachs.

Rosli berkata, adalah tidak benar beliau dilantik untuk bertindak bagi pihak kerajaan dalam kes 1MDB, sedangkan beliau dilantik oleh dan bertindak bagi pihak 1MDB.

 Muhyiddin tak boleh terus membisu


Sebagai rekod, pada 2012 dan 2013, Goldman Sachs bertanggungjawab mengaturkan tiga bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB. Dana itu kemudiannya diselewengkan.


Perincian penyelesaian untuk peranan Goldman Sacsh dalam skandal 1MDB tidak diedahkan tetapi secara umumnya bank Amerika Syarikat itu perlu membayar AS$2.5 bilion (RM10.35 bilion), selain menjamin aset bernilai AS$1.4 bilion (RM5.8 bilion) yang diperolehi menggunakan dana 1MDB.

Post a Comment

0 Comments