Menteri umno tak mahu lepas jawatan pengecut, tak setia - Nazri Aziz


MENTERI Umno yang tidak berani melepaskan jawatan adalah pengecut dan dianggap tidak setia kepada parti dan suara akar umbi.

Demikian pandangan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Nazri Abdul Aziz susulan gesaan supaya pemimpin parti itu melepaskan jawatan dan kedudukan dalam kerajaan dan amaran dilontarkan seorang pemimpin tertinggi Bersatu terhadap pemimpin Umno yang mengertak atau mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya sokong sepenuhnya seruan Rosol Wahid (ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu) supaya menteri, timbalan Umno lepas jawatan tanpa letak syarat.

“Kenapa nak cakap kalau disuruh baru nak berhenti? Berhenti sahaja tanpa syarat, tidak susah. Kena dengar suara akar umbi,” kata Nazri dipetik laporan FMT.

Terdahulu, media melaporkan Rosol mencabar Umno menarik balik sokongan terhadap PN tanpa syarat.

Ia selepas perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur Ahad lalu memutuskan bahawa parti itu memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15.

Perhimpunan minggu lalu menjadi pentas untuk Umno menghentam PN, malah tempias sama turut terkena kepada beberapa pemimpin Umno yang menjawat jawatan dalam kerajaan.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungannya mencabar seorang pemimpin Umno yang juga menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar melepaskan jawatan kerana disifatkan sebagai makhluk perosak parti itu.

Mengingatkan individu berkenaan yang tidak disebut namanya, bahawa jawatan yang disandang itu disebabkan oleh Umno.

"Kalau dia anak jantan, dia harus lepas jawatan sebagai menteri, ini makhluk perosak," kata Ahmad Zahid.

Sebelumnya, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah memberi pandangan bahawa Menteri, timbalan menteri wajar menarik diri dari kerajaan serta-merta.

Jelasnya, tindakan itu selari dengan cadangan daripada Umno Bahagian yang mengadakan mesyuarat perwakilan untuk memutuskan kerjasama dengan PN.

 Nazri bidas menteri umno tak mahu lepas jawatan
Sebagai rekod, pada Januari lalu, Nazri mengumumkan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan sedia ada.

Keputusan itu tegasnya  adalah suara akar umbi di kawasannya di Padang Rengas dan juga parti diwakilinya.
 

Post a Comment

0 Comments