Jangan buat spekulasi, hormat proses undang-undang


AMANAH Pulau Pinang percaya Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil tidak terlibat dalam perbuatan cabul yang didakwa seorang wanita berusia 31 tahun yang dilapor media baru-baru ini.

Pengerusinya Dr Roslan Ahmad berkata, pihaknya menolak budaya politik bersifat fitnah, jijik dan mengaibkan dan menyokong segala usaha membersihkan nama Faiz Fadzil.

“Kami akan mempertahankan beliau dan percaya beliau tidak sama sekali terlibat dalam perbuatan tersebut.

“Suhu politik negara dan pertikaian mengenainya tidak seharusnya sama sekali membawa kepada penyuburan budaya yang cukup jijik dan hina sebegini,” kata Amanah Pulau Pinang dalam pada satu kenyataan.

Tambah Dr Roslan, pihaknya berdoa dan berharap Faiz yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu berada di pihak yang benar.

“Apa pun, kami memahami proses undang-undang perlu berjalan dengan adil. Kami berharap keadilan akan akhirnya terpancar dengan siasatan yang adil, saksama dan tanpa dipengaruhi sebarang faktor lain,” tambahnya lagi.

Terdahulu pada 16 Mac, wanita itu yang merupakan seorang pembantu kedai mendakwa suspek cuba memegang tangannya namun ditepisnya, dan di dalam kereta suspek kemudiannya, suspek didakwa meraba, menarik bahu pengadu dan memegang tangan wanita itu tetapi ditolaknya.

Kejadian itu dakwanya berlaku ketika mereka keluar membeli-belah di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.

Faiz dalam dalam satu kenyataan semalam menafikan tuduhan mencabul seorang wanita sebagaimana yang didakwa dalam satu laporan polis yang tersebar semalam.

Anak bekas Presiden PAS, Alllahyarham Datuk Fadzil Noor itu mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan laporan polis yang dibuat seorang wanita itu.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut.

“Saya juga sedang berbincang dengan pasukan peguam bagi mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya bagi membersihkan nama saya,” katanya dalam satu kenyataan sambil menegaskan akan terus bekerjasama dengan pihak polis bagi membantu siasatan.
 
Sementara itu, Dr Roslan berkata, AMANAH Pulau Pinang menyeru semua ahli agar bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasaskan fakta serta menghormati proses undang-undang.

Percaya Faiz Fadzil tidak terlibat
Beliau turut menegaskan bahawa “seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah oleh mahkamah.”

“Kami juga menolak desakan beberapa pihak dan mahu beliau terus menjalankan tugas sebagai Adun Permatang Pasir,” katanya.

Post a Comment

0 Comments