Geng PN lain macam, ada pegawai berotak 'bingai'



KETUA Kumpulan Karangkraf secara terbuka menempelak tindakan seorang pegawai sebuah kementerian yang dakwanya melakukan ugutan bagi menghalang kebebasan media di negara ini.

Hussamuddin Yaacob seperti laporan Malaysiakini berkata, pegawai berkenaan mengugut menamatkan kontrak pengiklanan jika media memberikan ruang kepada individu tertentu dalam laporan mereka.

Bengang dengan tindakan pegawai itu, Hussamuddin menyifatkannya sebagai berfikiran 'bingai'

"Rupanya di tahun 2021 pun masih ada pegawai menteri/kementerian yang berotak bingai, siap boleh ugut media untuk batalkan kontrak iklan dari kementerian tempat dia bertugas jika media beri ruangan kepada si polan dan si polan.

"Siap ugut nak boikot lagi. Ingat boleh tongkat langit ke?" katanya menerusi Twitter.

Sebagai rekod, Karangkraf merupakan penerbit bagi akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian yang cuba melaporkan berita dengan seimbang tanpa tekanan dari mana-mana parti politik.

Dalam tweet berasingan Hussamuddin berkata. ugutan seperti itu tidak pernah berlaku ketika negara ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

"Kami buat akhbar bebas (Watan/ Eksklusif/ Sinar Harian) sejak tahun 80-an lagi. BN/PH pun tak berapa suka dengan pendirian kami, tapi mereka tak pernah ugut malah siap engaged kami.  

"Hubungan kekal mesra, walaupun "benci tapi rindu". Geng baru ni lain macam pula," tambahnya.

Memetik laporan sama, Hussammuddin berkata laporan berita tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menamatkan kontrak sesuatu iklan.

Ini kerana katanya, iklan dan berita adalah dua perkara berbeza.

"Jika iklan yang disiarkan tidak ikut spesifikasi perjanjian, bolehlah pertikaikan.

 Tidak pernah berlaku zaman BN dan HARAPAN
"Media harus bebas menyiarkan berita selagi tidak menggangu ketenteraman awam dan tidak menghina raja dan agama atau boleh menyemarakkan api perkauman. Juga tidak fitnah," katanya lagi.

Bagaimanapun, Hussamuddin tidak mendedahkan bentuk ugutan tersebut atau pegawai dari kementerian mana yang dimaksudkannya itu.