Beri pampasan jika penerima vaksin alami kesan sampingan - ADUN

 


SEORANG  wakil rakyat dari Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan supaya kerajaan memberi bantuan dalam bentuk kewangan kepada orang ramai yang mengalami kesan suntikan vaksinasi.

Lee Chean Chung yang merupakan Bendahari KEADILAN berkata, Walaupun risiko kesan sampingan sangat rendah, bantuan tersebut akan memberikan ketenangan fikiran kepada penerima suntikan vaksin.

"Komitmen kerajaan terhadap bantuan kewangan dimaksudkan untuk memberikan ketenangan fikiran bagi mereka yang mengambil vaksinasi, dan juga untuk menunjukkan bahawa kerajaan menanggung risiko di sebalik memberi suntikan vaksin," katanya dalam kenyataan.

Adun Semambu, Pahang itu turut memetik contoh di Singapura dan United Kingdom yang menyediakan Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin kepada penerima.

Di Singapura jelasnya kerajaan memberi bayaran  kira-kira RM30,500 bagi mereka yang mengalami kesan sampingan atau RM680,000 sebagai ganti rugi sekiranya seseorang meninggal dunia atau mengalami kecacatan kekal yang teruk.

Di United Kingdom, Skim Pembayaran Kerosakan Vaksin memberikan pelindungan hingga RM670,000 jika orang yang menerima suntikan cacat parah akibat vaksinasi.

Selain itu, beliau turut mendesak Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam), Persatuan Insurans Am Malaysia (Piam), dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) untuk memperluas pelindungan terhadap komplikasi vaksinasi Covid-19 yang mengakibatkan kemasukan ke hospital.

"Ketujuh-tujuh agensi insurans di Singapura mengumumkan sebelumnya pada 25 Januari bahawa mereka akan melindungi komplikasi vaksin Covid-19 yang menyebabkan kemasukan ke hospital hingga 31 Disember 2021.

 Lee merujuk mekanisma di Singapura dan UK
"Rakyat Malaysia juga mengharapkan pemain industri swasta menunjukkan komitmen proaktif dengan negara," tambahnya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan buku panduan Program Imunisasi Nasional Covid-19 yang mendorong orang ramai untuk mengambil vaksin percuma.

Dalam sidang media selepas pelancaran, ketika ditanya mengenai kemungkinan komplikasi yang timbul, Muhyiddin berkata bahawa Kementerian Kesihatan akan merangka rancangan mengenai hal itu.


Post a Comment

0 Comments