NUTP gesa Kementerian pendidikan kembalikan PdPR 1.0


KESATUAN  Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kembali kepada cara pembelajaran Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah 1.0 (PdPR 1.0)

Presidennya, Aminuddin Awang membuat gesaan itu susulan PdPR 1.0 lebih  fleksibel berbanding PdPR 2.0 yang digunapakai hari ini.

“KPM seolah-olah tidak mengambil kira situasi semasa yang menambah bebanan kepada murid yang terpaksa berkorban menggunakan peranti iaitu telefon bimbit yang turut dikongsi dengan adik beradik yang lain dan juga ada yang menggunakan telefon ibu dan bapa mereka.

“Pihak KPM seharusnya melihat situasi semasa yang dihadapi guru, murid dan ibu bapa yang amat tertekan dengan situasi semasa ketika negara masih lagi berperang dengan wabak Covid-19.

“Ada ibu bapa yang tidak berkemampuan membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka, maka ramai antara pelajar ini terpaksa berkongsi telefon bimbit dan ini menimbulkan masalah yang tidak berkesudahan,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Media sebelum ini melaporkan keluhan ibu bapa yang tidak berkemampuan dalam menyediakan peranti untuk anak mereka mengikuti PdPR 2.0.

Kerajaan turut dikritik kerana kelewatan pengagihan 150,000 peranti yang dijanjikan pada Belanjawan kerajaan Perikatan Nasional (PN) lalu yang kemudian ditukar kepada skim pinjaman mirip pinjaman buku teks sekolah.

Isu kesusahan pelajar mengikuti PdPR 2.0 mendorong beberapa pemimpin pembangkang dan dermawan  tampil secara peribadi mengagihkan peranti bersesuaiaan untuk golongan tidak berkemampuan.

Antara yang berbuat begitu ialah pendakwah Ustaz Ebit Liew, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abd Rahman dan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Difahamkan, jadual waktu PdPR 2.0 diselarasakan, diatur seperti jadual sesi persekolahan secara bersemuka sekitar jam 7 pagi hingga 1 petang manakala cara pembelajaran PdPR 1.0 yang hanya memperuntukkan masa beberapa jam sahaja untuk murid sekolah rendah dan juga pelajar sekolah menengah.

"Panduan pelaksanaan jadual waktu PdPR 2.0 dilihat agak membebankan dengan peruntukan masa yang ditetapkan iaitu lima jam setengah dan peruntukkan masanya yang lebih lama.

"Berbanding sebelum ini dalam PdPR versi 1.0 yang hanya memperuntukkan masa untuk pra sekolah selama dua jam, sekolah rendah dua hingga tiga jam dan menengah rendah dan atas tiga hingga empat jam," katanya.

Aminuddin turut merujuk peruntukkan masa tempoh layar maksimum mengikut umur itu berdasarkan The American Of Pediatrics (AAP) dan World Health Organization [WHO] yang dakwanya tidak dipatuhi KPM.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pelaksanaan PdPR versi 2.0 perlu dilakukan dengan merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menetapkan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan.

 PdPR 1.0 fleksibel dan tak membebankan


Tegasnya, semua golongan pelajar berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan, meskipun mereka tidak dapat hadir ke sekolah.


Justeru pihak KPM gesanya, perlu memikirkan pendekatan terbaik bagi meneruskan pembelajaran anak-anak di rumah dengan tidak menambah beanan dan tekanan kepada golongan terbabit.