KETUA Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berharap Menteri Besar Saarani Mohamad dapat melaksanakan pentadbiran secara telus, selain memberi tumpuan kepada kehendak dan kepentingan rakyat.
Dr Abdul Aziz Bari yang dipetik laporan Bernama berkata kedua-dua perkara itu tidak boleh dipandang mudah, ia tegasnya menjadi cerminan dan tulang belakang kepada kestabilan sesebuah kerajaan yang dibentuk.
"Mudah-mudahan perkara itu akan menjadi faktor yang memudahkan atau membolehkan kami selaku pembangkang berurusan dengan beliau secara baik.
"Dia tak harus melihat kami sebagai orang yang seperti hendak menjatuhkan dia. Kita bersaing secara positif, sihat dan itu adalah kehendak rakyat pun. Rakyat nak satu pentadbiran yang baik," kata Naib Pengerusi DAP Perak itu.
Saarani, 59, yang merupakan ADUN Kota Tampan dari Umno mengangkat sumpah selaku Menteri Besar Perak ke-14 selepas Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu disingkirkan melalui undi usul percaya dalam DUN minggu lalu.
Melalui usul dibawa ADUN Pengkalan Baru daripada Umno Datuk Abd Manap Hashim, Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi sokongan berbanding 48 tidak menyokong dan 1 berkecuali.
Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Asmuni Awi berkata pelantikan Saarani diharap mampu menyelesaikan segala kemelut politik dan penumpuan perlu terarah kepada aspek pembangunan negeri.
Asmuni, yang merupakan Adun Manjoi, berkata beliau akan sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan sekiranya agenda berkenaan diberikan penumpuan.
"Saya yakin dalam sejarah baharu politik Malaysia terutamanya di Perak, beliau (Saarani) akan dapat melakukan perubahan dan sesuatu yang terbaik untuk rakyat," katanya.
Manakala Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pula berkata semua pemimpin politik di Perak memberi penekanan terhadap titah Sultan Nazrin Shah yang antara lain menyeru supaya kemelut politik diselesaikan, dan semua pihak berusaha memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan dan memenuhi harapan rakyat. Diharap kemelut politik selesai
Sebagai rekod, Sultan Nazrin dalam titahnya semasa istiadat pelantikan Saarani sebagai Menteri Besar menegaskan bahawa pertukaran 3 Menteri Besar di Perak dalam penggal ini merupakan cerminan kepada kegagalan.
0 Comments