OneXOX TKKR tarik diri dari Moto2


PENAJA
utama SAG Team, OneXOX TKKR mengambil keputusan menarik diri sebagai penaja utama pasukan dari Sepanyol itu bagi saingan Kejuaraan Motosikal Dunia Moto2 musim hadapan.

Prinsipal pasukan, Datuk Bobie Farid Shamsudin berkata keputusan itu dibuat susulan ada laporan bahawa ada perbincangan meragukan antara SAG Team dengan Pertamina Mandalika Racing Team (MRT) dari Indonesia yang akan mengambil alih kedudukan TKKR musim depan.

"Kalau jadi alhamdulillah, baguslah untuk pasukan SAG.

"Kalau tak jadi, saya tak tahulah sebab saya tak mahu duduk dalam keadaan tersepit, dan apabila (kerjasama berkenaan) tidak menjadi, kita pula yang terpaksa menanggung semua ini," katanya Bobie Farid.

Walau bagaimanapun beliau menjelaskan bahawa pihaknya akan terus berada dalam sukan permotoran itu dan akan fokus kepada perancangan dalam Kejuaraan FIM CEV Eropah.

Selain itu mereka akan meneruskan penglibatan sukan dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas, Siri Superbike Malaysia dan Kejuaraan Motosikal Asia (AARC).

"Kami akan melakukan perancangan baru dan meyantuni peminat dan penyokong yang mahukan pelumba, makanik dan kru Malaysia bersaing di peringkat dunia.

"Jadi kami perlu melakukan perancangan semula dan dengan ini, saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada saingan Moto2 musim depan," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan baharu SAG Team untuk menentukan masa depan pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin bersama pasukan berkenaan.

Bakal tumpu kejuaraan lain
Kasma Daniel, 20, menyertai pasukan SAG Team pada awal tahun ini, daripada pasukan Dynavolt Intact SIC Junior Team yang bersaing dalam kelas Moto2 Kejuaraan FIM CEV Eropah.
 
OneXOX TKKR menjalin kerjasama dengan SAG Team bermula pada musim lalu selepas penaja pasukan berkenaan dilaporkan menarik diri pada saat akhir susulan masalah kewangan.


Post a Comment

0 Comments