Negeri Sembilan akan bawa usul hadkan tempoh khidmat MB


KERAJAAN
Negeri Sembilan bakal membawa usul bagi mencadangkan supaya tempoh perkhidmatan Menteri Besar untuk negeri itu dihadkan.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata cadangan menghadkan tempoh itu kepada hanya dua penggal terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini dan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Usul mengenainya akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Perkara ini telah dipersetujui dalam mesyuarat Exco dan seterusnya sidang DUN. Kami akan pastikan ia menjadi sebahagian Rang Undang-Undang (RUU) atau undang-undang enakmen bagi kerajaan Negeri Sembilan.

"Kami akan minta pegawai undang-undang menyiapkan usul tersebut sebelum diserahkan kepada jawatankuasa perlembagaan DUN untuk diteliti," katanya pada sidang media semalam.

Aminuddin sebelumnya mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di Seremban.

 Langkah pastikan pentadbiran telus
Sebagai rekod,  HARAPAN menerusi manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu memaklumkan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri akan dihadkan kepada dua penggal.

Langkah itu dibuat bagi memastikan ketelusan pentadbiran.

Sementara itu jelas Aminuddin, jawatan tersebut terbuka kepada mana-mana parti sepertimana yang akan diluluskan dalam sidang DUN kelak.

Post a Comment

0 Comments