Bukan kenyataan nak tukar ketua pembangkang - MP DAP


KENYATAAN
bersama dikeluar Presiden Amanah, Mohammad Sabu dan Setiausaha DAP pagi tadi bukan bertujuan untuk mendesak agar Ketua Pembangkang baru dilantik.

Sebaliknya,seorang Ahli Parlimen DAP yang tidak dinamakan menegaskan bahawa ia hanya saranan supaya usaha ditumpukan bagi memperkukuh gabungan parti politik dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dipetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen itu berkata, satu langkah ke depan untuk menjadikan  HARAPAN  sebagai gabungan lebih besar perlu dilaksanakan.

"Fokus utama bukan menuntut agar ketua pembangkang baru dilantik tetapi meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KEADILAN memberikan lebih banyak usaha dalam kalangan sekutu yang sama pihak berbanding penyokong kerajaan.

"Kami juga faham dalam keadaan sekarang ia memerlukan
pertanggungjawaban bersama dan kita tidak boleh salahkan Anwar. Kami cuma mahu memperbetulkan keadaan," katanya dipetik sebahagian laporan itu.

Pagi tadi, Mohammad Sabu dan Lim membuat gesaan supaya HARAPAN membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan oportunis.

Gesaan yang dibuat melalui kenyataan bersama itu berkata,  suatu anjakan politik semula bagi menyatukan  rakan-rakan  kalangan ahli parlimen pembangkang  perlu mulakan segera.

"HARAPAN seharusnya tidak membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan oportunis, dan hanya memperalatkan HARAPAN demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan Perikatan Nasional," kata mereka.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada beberapa laporan sebelum ini yang mendakwa Ahli Parlimen Umno memberikan sokongan mereka kepada Anwar untuk mengambil alih semula mandat rakyat.

Laporan itu termasuk kononnya 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak telah menandatangani SD bagi tujuan itu.

Desas-desus itu bagaimanapun kemudiannya disahkan palsu oleh Pejabat Anwar.

 Anwar terus diyakini
Sementara itu, beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin tetap menyuarakan sokongan agar Anwar terus mengetuai blok pembangkang. 

Naib Presiden Amanah, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus yang dipetik laporan media baru-baru ini menegaskan bahawa ketokohan Anwar tetap unggul malah beliau  merupakan individu paling tepat untuk memimpin kerajaan.

Disebalik gesaan supaya kerjasama antara pembangkang itu diperluaskan, sebahagian penyokong HARAPAN  pula melalui media sosial menyelar Mohammad Sabu dan Lim kerana dilihat mahu memberi muka kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad yang meletak jawatan pada Febuari lalu sehingga menyebabkan kerajaan dirampas.

Sebagai rekod, Mahathir sebelum ini berulang kali mengulangi janjinya untuk menyerah jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, namum tidak memenuhinya. 


Post a Comment

0 Comments