Muhyiddin digesa letak jawatan demi Bangsa dan Negara


PRESIDEN Angkatan Karyawn Nasional (Akar), Ab Jalil Backer menggesa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin segera melepaskan jawatan bagi menyelamatkan negara.

Dipetik satu artikel yang disiarkan di Sinar, Ab Jalil berkata, krisis politik di Perak pada Jumaat lalu yang membawa kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu bukti politik Malaysia berada dalam keadaan tidak stabil.

Kepimpinan kerajaan negeri dan Persekutuan jelasnya boleh berubah pada bila-bila masa.

"Tindakan Barisan Nasional (BN) mengemukakan usul undi percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menunjukkan kerapuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kekalahan usul undi percaya kepada Ahmad Faizal dengan majoriti ADUN BN menentang usul tersebut bukanlah sekadar cerminan konflik politik negeri.

"Hal yang lebih besar menunjukkan kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan pemimpin kerajaan PN dalam menguruskan politik dengan berhemat serta cermat," katanya dipetik.

Muhyiddin tambahnya juga sedang berdepan isu kemelesetan populariti dalam kalangan rakyat.

Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan gagal menguruskan harapan rakyat mengenai isu pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja dan moratarium seperti yang dituntut BN.

Selain itu tambahnya, penurunan status Kemungkiran Penerbit Mata Wang Asing Jangka Panjang (IDR) Malaysia daripada ‘A-’ kepada ‘BBB+’ oleh agensi penarafan, Fitch Ratings ketika negara dibawah pentadbiran Muhyiddin menurutnya adalah membimbangkan.

 Politik negara tidak stabil


Lebih merisaukan jelasnya, antara faktor penurunan itu adalah masalah Covid-19 dan ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara.


"Kita tahu kerajaan tidak mungkin dapat memenuhi semua harapan rakyat, namun kerajaan harus menguruskan harapan itu sebaik mungkin supaya tidak menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan.

"Bersaralah Muhyiddin dengan cara dikenang sebagai pemimpin yang berkorban demi Islam dan Melayu," tambahnya lagi.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mendapat penarafan rendah seperti itu adalah pada tahun 2004 ketika era pentadbiran BN. 

Post a Comment

0 Comments