PEMIMPIN Kerajaan Negeri Kedah digesa tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang dilihat sesuka hati sehingga diketawakan rakyat.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow ketika mengulas tuntutan caj air oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, adalah lebih baik isu itu dibincangkan supaya imej pentadbiran kedua-dua negeri terus terpelihara.
“Kita perlu menjaga imej dan kredibiliti kedua-dua negeri dan janganlah sewenang-wenangnya menyuarakan perkara yang boleh membuatkan rakyat kecewa,” katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.
Isu air yang membayangi kedua-dua negeri berlaku selepas Muhammad Sanusi Md Nor hari ini menyelar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) yang disifatkannya "tidak layak" memberi pandangan terhadap apa-apa aktiviti di Ulu Muda.
Ia selepas PBAPP mengulas rancang Menteri Besar Kedah itu melombong nadir bumi dianggarkan bernilai berpuluh-puluh bilion ringgit di beberapa kawasan di negeri itu termasuk kawasan Ulu Muda yang merupakan kawasan tadahan air untuk jutaan penduduk di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis
Pemimpin Pas itu kemudian menyerang PBAPP dengan menggesa supaya agensi bekalan air itu membayar kira-kira RM50 juta setahun untuk sumber air yang dakwanya bersumberkan dari kawasan tadahan air itu.
Kon Yeow kemudiannya menegaskan, Pulau Pinang tidak akan membayar caj dituntut Kedah sejajar dengan hak antarabangsa dalam menggunakan air sungai.
"Kita telah memberikan jawapan tidak akan membayar caj tersebut memandangkan Pulau Pinang menggunakan hak antarabangsa iaitu menggunakan air dari sungai khususnya di bahagian sempadan negeri Pulau Pinang sejajar dengan undang-undang dan hak antarabangsa.
"Kita tidak akan bayar sebab kita mengambil air dari Sungai Muda di bahagian Pulau Pinang sejajar dengan hak antarabangsa tentang air dan undang-undang negara," katanya.
Susulan ketegasan Kon Yeow itu, Sanusi kemudian berseloroh dan mendakwa mahu meminta orang kampung menyekat air dari Sungai Muda di Kedah agar tidak mengalir ke Pulau Pinang.
Kenyataan Sanusi itu kemudian menerima kecaman warganet.
Sementara itu Kon Yeow menambah, negeri itu bagaimanapun bersedia membincangkan pertelingkahan itu secara profesional.
“Pintu Komtar (yang menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri) sentiasa terbuka kepada kerajaan Kedah untuk mengemukakan tuntutan dan dalam isu ini, sudah semestinya rakyat tidak mahu melihat kedua-dua negeri berperang mulut menerusi platform media dan mengharapkan perbincangan dapat dijalankan," katanya. Kon Yeow beri teguran kepada Sanusi
0 Comments