LALUAN lama Bentong-Raub berhampiran Kampung Sungai Chetang ditutup kepada semua jenis kenderaan ekoran tanah runtuh.
Memetik laporan Bernama, terdapat runtuhan sepanjang 60 meter di laluan itu yang dipercayai berlaku disebabkan hujan lebat sejak kelmarin.
Exco Kerja Raya Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, jalan itu terpaksa ditutup kerana terdapat potensi runtuhan tanah lebih besar boleh berlaku disebabkan aliran air dalam musim tengkujuh sekarang.
"Punca kejadian adalah disebabkan hujan lebat yang berlaku pada malam Isnin menyebabkan pembetung sedia ada sepanjang 20 meter dengan diameter 1.5 meter tidak dapat menampung aliran sungai yang naik mendadak sehingga menyebabkan limpahan berlaku.
"Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah akan membaiki dan bercadang menaik taraf pembetung tersebut dengan kos dianggarkan bernilai RM1.2 juta yang akan dimohon kepada ibu pejabat JKR pada minggu ini," katanya menurut laporan itu.
Ditutup untuk semua kenderaan |
Makluman penutupan jalan itu juga dihebahkan di Faceboook JKR Daerah Raub selain pihak konsesi penyenggaraan jalan iaitu Roadcare (M) Sdn Bhd, diarahkan untuk memasang papan makluman penutupan jalan.
0 Comments