KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sepatutnya belajar daripada kesilapan lalu kerana polisi melonggarkan peraturan kuarantin, kata Ahli Parlimen Shah Alam.
Khalid Samad membuat gesaan itu ketika mengkritik keputusan KKM yang idak mewajibkan kuarantin selama 14 hari ke atas individu baru tiba ke Semenanjung yang dipercayai ada kaitan dengan kepentingan politik susulan kehadiran Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.
Tegas Khalid, kelonggan peraturan itu pada September lepas sudah terbukti menjadi punca merebaknya virus Covid-19 di Semenanjung termasuk dalam kalangan para pemimpin yang berkempen dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah.
"Kita lihat kerajaan menukar peraturan secara sesuka hati. Begitu juga dengan kes melibatkan Ahli Parlimen Keningau, Jeffrey Kitingan di Dewan Rakyat semalam yang sepatutnya masih menjalani kuarantin kendiri sekembali dari Sabah," katanya dipetik.
Jeffery sebelum ini dikritik Ahli Parlimen dari Pembangkang selepas menyertai sesi perbahasan belanjawan walaupun didakwa belum menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari.
Susulan itu pada Rabu, Menteri Kesihatan, Adham Baba berkata, pengembara yang tiba dari Sabah dan didapati negatif tidak perlu menjalani kuarantin wajib selama tempoh seperti yang dikuatkuasakan sebelum ini dan hanya perlu menjalani ujian calitan atau 'swab' tiga hari sebelum berlepas dari Sabah ke negeri lain bermula 25 November. ini.
"Jika dilihat kerajaan seperti mempermainkan isu kesihatan dan tidak kisah dengan keadaan semasa wabak, malah blok kerajaan seolah-olah seperti ada agenda terancang.
"Begitu juga soal kawalan di zon merah, hijau dan kuning. Jika di Sabak Bernam dan Ulu Selangor yang bukan zon merah dan terkawal mereka tetap layan sama seperti di kawasan zon merah, jadi ia menunjukkan layanan yang 'double standard'," katanya.
Khalid berkata, sepatutnya peraturan dijalankan dengan adil dan perlu dipatuhi serta tidak sesuka hati mengubah polisi untuk kepentingan politik semata-mata.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai dari KEADILAN, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa perubahan prosedur operasi standard (SOP) dalam isu kesihatan itu menunjukkan satu budaya yang tidak sihat.
"Kenapa bila yang diperintah (rakyat) SOP lain, tetapi apabila ia melibatkan pemerintah SOP yang ditetapkan boleh pula diubah?
Jangan ada layanan dua darjat |
"Maka ia perlu diseragamkan supaya rakyat melihat kerajaan adil," katanya.
0 Comments