Penganalisis ramal belanjawan tak disokong jika tak dipinda


PENGANALISIS
politik berpandangan Belanjawan 2021 kerajaan Perikatan Nasional (PN) kemungkinan besar tidak akan disokong sekiranya pindaaan tidak dibuat.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia dipetik laporan FMT berkata, kedua-dua pihak dari kerajaan dan pembangkang perlu membincangkan pindaan tersebut.

Jelasnya, pada hari pertama perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen pembangkang dilihat bersetuju menyokong Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan itu tetapi dengan perubahan.

“Ahli Parlimen mungkin mahu mengelak dilabel menentang Agong,” katanya merujuk nasihat Yang di-Pertuan Agong agar ahli Parlimen menyokong belanjawan  itu sebelum ini.

Semalam, Ketua Pembangkang, DatuK Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa Belanjawan itu tidak akan disokong sekiranya ia tidak benar-benar akan membantu rakyat dan menangani Covid.

Belanjawan perlu pindaan, kata penganalisis
Beberapa perkara seperti keperluan memberi peruntukan bagi menghidupkan kembali Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dikaitkan sebagai agensi propaganda kerajaan telah dipertikaikan.

Ahli Parlimen pembangkang juga meminta moratorium pinjaman dilanjutkan 6 bulan lagi kerana syarikat terus mengalami kemerosotan dalam perniagaan akibat sekatan pergerakan. Pembangkang juga meminta lebih pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan membuat pengeluaran dari Akaun 1 mereka.

Sementara itu, Sivamurugan berkata, kerajaan tidak akan rugi jika mereka menerima permintaan pembangkang.

“Jika kerajaan boleh membuat pindaan yang dimahukan pembangkang, belanjawan itu mungkin diluluskan dengan majoriti lebih besar,” katanya.

Pandangan Sivamurugan itu turut dipersetujui  Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya bersetuju.

“Jika pandangan pembangkang diambil kira, belanjawan akan diluluskan,” katanya dipetik laporan itu.

Sementara James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania pula berpandangan jumlah ahli Parlimen yang berkecuali daripada mengundi bagi belanjawan itu mungkin lebih tinggi tahun ini.

Isu Belanjawan menjadi perhatian ramai, ia selepas ada ura=ura bahawa RUU Perbekalan itu mungkin tidak mendapat sokongan mencukupi daripada ahli Parlimen.

Kegagalan meluluskan RUU Perbekalan akan mengakibatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat, tumbang secara automatik.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui satu titah akhir Oktober lalu melalui kenyataan  keluarkan Istana Negara menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan tersebut.



 

Post a Comment

0 Comments