SEORANG lelaki yang melarikan diri dari Hospital Slim River ketika dalam pemerhatian kes Covid-19 berjaya ditahan semula oleh pihak polis.
Ketua Polis Daerah Muallim, Sulizmie Affendy Sulaiman dipetik laporan media berkata, pihaknya menerima panggilan dari hospital mengenai insiden itu pada kira-kira 4.48 petang semalam.
Lelaki berumur 29 tahun itu ditemui semula berhampiran sebuah stesen minyak di Bandar Baru Slim River.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim menerima panggilan telefon daripada Hospital Slim River yang memaklumkan bahawa seorang lelaki memakai gelang berwarna biru muda Covid-19, telah melarikan diri dari wad hospital itu.
"Lelaki itu kemudian berjaya dijumpai semula oleh sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah kira-kira jam 6.00 petang.
"Sepasukan petugas kesihatan yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) datang mengambil dan membawa lelaki terbabit balik ke hospital," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Ketika ditemui, lelaki itu hanya memakai seluar pendek dan kemeja-T berwarna hitam
Sementara itu tambah Sulizmie, berdasarkan maklumat terkini, hasil saringan ujian pejabat kesihatan mengesahkan lelaki itu negatif Covid-19 dan akan dibenarkan keluar wad esok.
Ditemui semula berhampiran stesen minyak |
Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
0 Comments