K'jaan diselar kerana rahsiakan klausa penyelesaian 1MDB-Goldman


TINDAKAN kerajaan memasukkan klausa kerahsiaan dalam perjanjian penyelesaian dengan Goldman Sachs Group Inc (Goldman) berhubung skandal 1MDB bernilai AS$3.9 bilion (RM16 bilion) dipersoal kumpulan hak asasi Transparency International Malaysia (TI-M).

Presidennya  Muhammad Mohan dipetik laporan FMT berkata, perjanjian penyelesaian dengan Goldman adalah isu kepentingan awam dan ia seharusnya diperiksa oleh jawatankuasa Parlimen.

“Bahagian perundangan di kedua-dua belah pihak harus diberi akses kepada maklumat atas nama ketelusan. Ia tidak boleh secara mudah diistilahkan sebagai rahsia negara,” kata Muhammad.

Beliau mengulas kenyataan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan yang sebelum ini berkata, perincian dalam perjanjian dengan Goldman tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana terikat dengan klausa kerahsiaan.

Pada Julai, Goldman bersetuju menerima penyelesaian dengan Malaysia, termasuk bayaran sebanyak AS$2.5 bilion dan peruntukan “luar biasa” bahawa bank itu menjamin Malaysia akan memperoleh bayaran tambahan AS$1.4 bilion daripada aset 1MDB yang dirampas di serata dunia.

Malaysia dalam pada itu akan menggugurkan pertuduhan jenayah terhadap bank berkenaan.

Isu mengenai keperluan perjanjian penyelesaiaan itu disemak dibangkitkan Ahli Parlimen Subang Wong Chen di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Wong Chen mahu ketua audit negara campur tangan dan menyiasat perjanjian itu selain membenarkan satu jawatankuasa dwipartisan terdiri daripada 10 ahli Parlimen meneliti perjanjian tersebut.

Katanya, menyembunyikan fakta mengenai penyelesaian itu akan menyebabkan “luka ke-2” bagi rakyat Malaysia.

Sementara itu, Wathshlah Naidu dari Center for Independent Journalism (CIJ) berkata, klausa kerahsiaan penting untuk keselamatan negara, pertahanan dan ketenteraman awam, tetapi tidak boleh digunakan sebagai ” cara mudah” untuk menghalang masyarakat mengakses perkara-perkara kepentingan awam.

Kerajaan tegasnya mesti memberi penjelasan kenapa pendedahan perincian perjanjian itu memudaratkan dan kesan undang-undang khusus jika ia berbuat demikian.

Tindakan k'jaan dipersoalkan


“Putrajaya perlu menggubal undang-undang berhubung hak untuk mendapatkan maklumat, supaya klausa kerahsiaan boleh dibatalkan atas nama kepentingan awam,” kata Wathshlah, selain menambah bahawa undang-undang sama telah dilaksanakan di United Kingdom, Indonesia dan Sri Lanka.


Post a Comment

0 Comments