K'jaan digesa tambah baik mutu siaran TV pendidikan

BEKAS Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menggesa kerajaan menambah baik kualiti dan masa yang diperuntukkan untuk pembelajaran menerusi Televisyen Pendidikan (TVP).

Bercakap di Dewan Rakyat pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 hari ini, Ahli Parlimen Kulai itu melahirkan rasa kecewa dengan program pembelajaran yang disiarkan menerusi televisyen yang disifatkannya masih tidak memuaskan.

"Saya mengikuti jadual TVP dari 5 November hingga 12 November, lebih kurang satu minggu.

"Untuk Tingkatan Enam, hanya tiga subjek yang diajar iaitu Fizik selama 55 minit, Ekonomi 27.5 minit dan Sejarah 27.5 minit.

"Lagi teruk Tingkatan Dua, tiada mata pelajaran dalam saluran yang saya sebutkan berbanding sekolah rendah, Tahun Satu hanya satu subjek disiarkan iaitu Matematik 30 minit.

"Sepatutnya, satu minggu mereka boleh belajar Matematik selama 300 minit, tetapi dalam TVP kita hanya sediakan 30 minit," katanya.

Gesa tambah baik siaran
Tambahnya, kualiti pembelajaran melalui siaran televisyen itu memerlukan perhatian segera.

Langkah menambah baik program itu tegasnya dapat mengurangkan jurang digital dalam kalangan pelajar terutama setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan menutup semua sekolah di negara ini bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Post a Comment

0 Comments