Oleh HASANUDDIN MOHD YUNUS | Dalam membuat keputusan yang besar, adalah sangat tidak selesa membiarkan para pembuat dasar itu, hanya berteriak mengatakan “setuju” atau “tidak”.
Tatacara parlimen, memberi mereka peluang untuk mengundi atau apa yang dinamakan belah bahagi.
Untuk membuka peluang belah bahagi, sekurang-kurangnya 15 ahli parlimen perlu berdiri.
Proses 15 orang berdiri sekadar membuka peluang untuk mengundi.
Sekiranya cukup, maka belah bahagi dijalankan. Sekiranya tidak cukup semua ahli parlimen telahpun berteriak mengatakan pandangan mereka.
Ketika memohon proses belah bahagi, kita belum boleh menentukan ahli parlimen mana yang menerima atau menolak sesuatu usul yang dikemukakan. Melainkan undian itu sendiri dijalankan.
Kami sebenarnya telah membuat agakan dan mencongak apa keputusan yang akan dibuat oleh setiap ahli parlimen.
Apatah lagi setelah mendengar suara yang mengatakan “setuju” kelihatan seperti lebih kuat daripada yang mengatakan ”tidak setuju.”
Sekiranya berlaku belah bahagi, barulah kita akan lebih selesa keluar dari dewan dengan keyakinan yang lebih mantap.
Perkara kedua yang perlu difahami, ahli parlimen dalam kerangka membuat keputusan yang besar, mereka akan mendengar sesuatu usul itu dalam 3 peringkat yang dinamakan bacaan kali pertama, kedua dan ketiga.
Selepas menteri kewangan membentang belanjawan yang menyebutkan jumlah dan sumber pendapatan, perbelanjaan dan jangkaan defisit, berlakulah proses perbahasan dan penggulungan setiap kementerian dan diakhiri dengan penggulungan beliau sendiri.
Kedudukan jumlah wang pengurusan dan wang pembangunan juga menjadi asas setiap peruntukan atau pindaan yang dibuat di semua kementerian.
Sekiranya bercampur aduk, pengurusan kewangan negara akan menjadi kelam kabut.
Kami sangat menghargai respon pegawai-pegawai di setiap kementerian selepas mendengar perbahasan dan penghujahan kami, khususnya pegawai-pegawai kementerian kewangan sendiri yang dizahirkan oleh menteri kewangan itu.
Cuma, kami ahli parlimen merasakan ia bagaikan sebuah pembentangan bajet yang baru.
Janji menambah peruntukan tanpa menyebut sumbernya, janji mengurangkan peruntukan Jasa yang berubah nama kepada J-Kom tanpa menyebut berapa jumlah pengurangan, tidak menjawab di mana perubahan tokok tambah atau sebarang pemotongan dari sebuah kementerian ke kementerian yang lain; mendesak perlunya ahli parlimen mengundi di dalam membuat keputusan.
Penggulungan perbahasan menteri kewangan bukan siaran van penerangan yang berlegar di sekeliling kampung. Kami perlukan fakta dan angka. Bagaimana kami akan melalui proses kedua yang diakhiri dengan bacaan kali ketiga nanti iaitu pembentangan, perbahasan dan kelulusan di peringkat Jawatankuasa setiap kementerian?
Janji-janji baharu menteri kewangan memang itu yang kami tagih dan pinta untuk rakyat, tapi biarlah ia mengikut proses yang betul dan bukan tepukan dan sorakan ahli parlimen sahaja.
Kami bertanggungjawab agar negara tidak terdedah kepada pembaziran, ketirisan, hutang-hutang tidak masuk akal seperti yang berlaku dalam kes 1MDB yang merugikan negara. Itu semua antara contoh waspada yang perlu diambilkira.
Malah kebimbangan kecuaian semasa meluluskan bajet tanpa proses yang teliti akan mendedahkan Malaysia ke arah negara muflis. Hilang keamanan dan kemakmuran serta datang huru-hara dan kemusnahan sekiranya ahli parlimen tidak tegas dalam membetulkan duduk perkara sebenar.
Semua ahli parlimen pelbagai parti tentunya bersedia menyokong sebuah belanjawan yang mantap demi memastikan kelangsungan kehidupan rakyat dalam sesebuah negara.
Berlaku khilaf sesama ahli parlimen sama ada mahu mengundi dengan cara belah bahagi atau sekadar berteriak “setuju” atau ”tidak” adalah sesuatu yang kerap berlaku dan terjadi dalam mana-mana sesi sidang parlimen sejak sekian lama lagi.
Yang penting proses persidangan berjalan dalam keadaan yang baik dan lancar.
Belanjawan perlu lalui tiga peringat |
Bagi yang berdiri memohon belah bahagi tiada istimewanya pula. Semua ahli-ahli parlimen Malaysia ada kemuliaan dan punya kebebasan berfikir, memilih dan menentukan sebagaimana lafaz sumpah taat setia kami ketika menjejakkan kaki di awal penggal 2018 tempoh hari.
HASANUDDIN MOHD YUNUS ialah Ahli Parlimen Hulu Langat dan Naib Presiden serta Ketua Whip Amanah.
0 Comments