AHLI PARLIMEN Kulai, Teo Nie Ching mempersoalkan 'kehilangan' peruntukan sebanyak RM800 juta bagi penyelenggaraan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari senarai Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021.
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu yang dipetik laporan Sinar berkata, peruntukan dengan jumlah sama diperoleh KPM bagi 2020 dan dimasukkan bawah program khusus, namun didapati tiada dalam senarai bagi perbelanjaan 2021.
"Dana untuk penyelenggara ini bukan satu benda yang baru. Sebelum kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) lagi ia mempunyai sejarah yang panjang tetapi apa yang saya hairan adalah kalau kita merujuk kepada buku tersebut, item penyelenggaraan ini tidak dapat dicari walaupun dapat peruntukan yang sangat besar iaitu berjumlah RM800 juta.
"Biasanya ia akan diletakkan bawah program khusus tapi untuk belanjawan 2021 kita tak dapat cari mana satu item tersebut. Ini yang merisaukan saya.
"Jadi Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran perlu jelaskan perkara ini," katanya pada sidang media di Parlimen semalam.Teo mahu penjelasan mengenai dana tersebut
Beliau pada masa sama menuntut penjelasan sama ada dana tersebut turut akan meliputi peruntukan untuk sekolah pondok, sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah menengah persendirian Cina.
Jelasnya, berdasarkan pengumuman Belanjawan 2021, peruntukan itu disebut disediakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
"Untuk belanjawan 2020, HARAPAN memperuntukkan dana ini untuk sekolah pondok, sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah menengah persendirian Cina.
"Kita harap tradisi ini dapat diteruskan kerana kita lihat banyak sekolah yang tersebut tidak berada dalam keadaan kondusif demi keselamatan pelajar," katanya dipetik.
0 Comments