Berguru dari sampah



Oleh  AL-ABROR MOHD YUSUF | "Hanya ada satu benda yang ada pada kita dan tak boleh diambil pergi, kata Jawaharlal Nehru dalam buku autobiografinya, "bertindak dengan berani dan bermaruah serta kekal dengan ideal yang memberi makan kepada kehidupan; tetapi itu bukan cara ahli politik."

Akhir-akhir ini kita berdepan dengan begitu banyak masalah dan kebimbangan.

Misalnya ibu bapa yang sentiasa dibayangi kekhuatiran terhadap anak-anak yang berada di asrama. Ketika ada pihak di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberitahu mereka memberikan kelonggaran, di sana-sini ada rungutan timbul.

Ramai ibu bapa yang sudah tidak dapat bersemuka dengan anak masing-masing. Atau ada anak yang memberontak kerana tidak dibenarkan waima berjumpa ibu bapa sendiri.

Sekolah dan asrama seakan-akan menjadi penjara. Selepas sekian lama sistem pendidikan kita bagaikan disumpah untuk menjadi kilang mengeluarkan para penghafal data, menjadikan pelajar sebagai tebusan adalah langkah terakhir yang diperlukan orang ramai sekarang.

Politik tak pernah terbebas dari nafsu
Entah di mana silapnya. KPM yang bertegaskah, atau pejabat pendidikan daerah yang enggan membuat kelonggarankah, atau pihak sekolah sendiri yang teragak-agak untuk menjadi lebih manusiawi?

Cuma kita fahamlah, dunia pendidikan kita ini bagaikan terkena sumpahan 99 keturunan layaknya.

Perebutan kuasa


Asal-muasal masalah ini ialah Covid-19 itulah. Tiba-tiba semuanya berubah dan di sana sini ada peraturan baru yang mencengkam. Ia demi kemaslahatan manusia, memang. Dan ia bolehlah difahami.

Kemudian wabak itu menunjukkan penurunan. Ada cahaya di hujung terowong, kata orang.

Cuma itulah. Politik kita tidak pernah terbebas daripada nafsu yang besar. Ada langkah itu dan langkah ini. Dan lebih celaka kita memberikan dwimakna mengikut kehendak perut kita. Perbuatan yang sama dianggap halal dan mulia jika ia memihak atau menguntungkan kita, dan sial jika dilakukan oleh pihak lain.

Maka sekarang kes-kes Covid-19 menjadi cendawan selepas pilihan raya. Ia berpunca daripada perebutan kuasalah. Fitrah dunia, setiap aksi akan menerbitkan reaksi. Dan yang menjadi taruhan ialah rakyat terbanyak.

Ketika orang ramai menghitung hari menanti seorang menteri diambil tindakan kerana gagal melakukan kuarantin kendiri, Covid-19 dibawa ke tengah masyarakat oleh ahli politik yang lain. Seolah-olah masalah yang sedang melanda sekarang masih belum memadai untuk ditelan oleh kita.

Dipersoalkan tentang bencana ini, ada menteri berhujah, masalah itu bukan disebabkan oleh ahli politik saja. Ia menjadikan menteri tersebut seakan-akan tidak lebih daripada Pak Pandir yang memujuk sedih Mak Andih ketika mereka kematian anak.

Masalah sebenar tidak selesai juga.

Mutasi ahli politik

Maka itu kita perlu melihat alam dan meminta simpati daripada sampah agar boleh belajar daripada bahan buangan itu. Ketika kebanyakan kita menganggap sampah adalah bahan yang perlu dinyahkan dari rumah, sebenarnya masih ada teladan yang dapat diperoleh.

Misalnya, kita mengasingkan sampah-sampah yang dibuang. Sesetengahnya boleh dikitar semula dan menguntungkan dan sebahagian yang lain memang layak dicampak ke tempat yang hanyir.

Sama jugalah dengan orang politik. Sesetengah mereka boleh diumpamakan seperti lampin bayi yang tengik dan hanya layak disumbat dalam tempat kumuh. Untuk kelestarian alam dan hidup, tentunya.

Kedudukannya bukan lagi seperti melukut yang adanya tidak menambah, tiadanya tidak mengurang. Ahli politik yang menyusahkan itu adalah seperti lampin pakai buang.

Sama seperti virus Covid-19, ahli politik ini juga mengalami mutasi. Malah proses itu berlaku jauh lebih pantas daripada virus berkenaan.

Pada satu ketika mereka menjadi makhluk paling takzim dan zuhud, namun pada masa lain - apabila tiada orang atau selepas mendapat apa yang diidamkan - ahli politik itu menjadi manusia yang cukup angkuh dan tidak tahu malu langsung.

Oran g politik bercakap mengenai lorong-lorong tikus semasa memberikan justifikasi peningkatan kes positif Covid-19 ketika kita tahu isu yang lebih mengancam dan mendasar ialah lorong-lorong politikus.

Seperti sampah, sudah sampai masanya untuk kita menyahkan ahli politik daripada hidup. Untuk sejahtera dan berjaya, kita tidak perlukan ahli politik sebaliknya merekalah yang memerlukan kita.

Ahli politik - termasuk para menteri yang bersepah-sepah itu - wajib dipertanggungjawabkan atas masalah yang melanda ini. Semuanya.

Dengan pelbagai gaji dan elaun yang dibayar oleh rakyat, mereka berbohong kalau mengaku memahami kesukaran yang kita alami. Sesetengah mereka dilahirkan dalam keluarga yang tidak pernah mengenal makna derita.

Ahli politik sepatutnya adalah hamba kepada kita, bukan sebaliknya. Ia adalah salah satu norma baru yang perlu didakap semua rakyat. Khalas.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang menghasilkan banyakpandangan menarik.


Tulisan ini pertama kali disiar di Malaysiakini  dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Post a Comment

0 Comments