Anwar gesa bincang belanjawan secara bipartisan



PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyeru kerjasama kedua belah pihak antara kerajaan dan pembangkang bagi merangka Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan.

Melalui satu kenyataan, Anwar berkata, kerjasama itu bagi merencana strategi yang ampuh dalam menangani dampak pandemik Covid-19 dan isu berkaitan rakyat terbanyak di negara ini.

"Bersabit dengan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan kelaka, ia harus menggembleng usaha dan peranan kedua-dua pihak (bipartisan) yakni kerajaan dan pembangkang dalam merencana strategi yang ampuh dalam menangani dampak Covid-19, pengganguran dan juga masalah kemiskinan," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, ada gesaan agar Muhyiddin Yassin mengadakan rundingan dengan Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir menegaskan bahawa langkah itu perlu agar masalah yang melanda negara dapat diatasi.

Sebagai rekod, pentadbiran Muhyiddin sebelum ini dikritik hebat susulan peningkatan secara mendadak kes positif Covid-19 susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan. Kabinet Muhyiddin turut dikritik susulan beberapa arahan berkaitan Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang mengelirukan.

Timbul ura-ura sebelum ini bahawa Ahli Parlimen mahu menolak pembentangan Belanjawan oleh Muhyiddin.

Sekirnya belanjawan diusulkan Ahli Parlimen Pagoh itu ditolak, Natijahnya Muhyiddin secara konvensyen demokrasi berparlimen perlu meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, beberapa parti politik dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat telah meredakan sedikit tekanan dihadapi Muhyiddin.

Anwar gesa rundingan bipartisan
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata semua parti politik mesti bersedia duduk bersama di meja rundingan dan mencapai satu ‘Konsensus Nasional’ demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat serta negara.
 
Sementara Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata pembangkang bersedia dipanggil dan bertemu  berhubung Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat depan.

“Kami bersikap objektif, jika ia demi rakyat dan negara, kami akan sokong. Untuk Belanjawan 2021 yang akan datang, memandangkan Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan ini berjalan dan belanjawan ini diluluskan, jadi panggil kami.

“Kami ada pasukan yang mampu menyalurkan buah fikiran dan idea terbaik. Kami bersedia pada bila-bila masa, panggil segera,” kata bekas Menteri Pertanian itu dipetik satu temu bual bersama Astro Awani.

Post a Comment

0 Comments