Wajar gugur calon jika PN belum lulus


PRESIDEN  Bersatu, Muhyiddin Yassin digesa membuktikan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpinnya telah lulus didaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Ia susulan pendedahan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Syed Osman bahawa semakan dibuatnya tiada rekod bahawa Perikatan Nasional (PN) sebuah pertubuhan politik berdaftar di sesawang JPPM.

Ketua penerangan KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika mengulas pendedahan Syed Badli berkata, Muhyiddin Yassin perlu membuktikan kepada umum bahawa PN sememangnya telah didaftarkan.

Sekiranya tidak, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tegasnya perlu mengambil tindakan tegas membatalkan semua 29 pencalonan PN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Pilihan raya adalah platform penting buat rakyat menggunakan hak mereka sebagai warganegara. Mereka berhak memilih calon dari parti yang sah di sisi undang-undang untuk menjadi wakil seterusnya membentuk kerajaan negeri.

“Seandainya PN masih belum didaftarkan secara rasmi, saya mendesak SPR mengambil tindakan serta merta dengan membatalkan pencalonan semua calon bertanding bawah tiket PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim,mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi  bertanding sebagai calon bBebas.

Ia susulan proses pendaftaran parti itu dengan JPPM belum selesai.

Sementara itu, Shamsul menegaskan bahawa tindakan membenarkan sebuah pertubuhan haram bertanding pada pilihan raya adalah penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

"Ia juga penghinaan buat rakyat khususnya warga Sabah," jelasnya.

Terdahulu, Syed Badli mendakwa sehingga kini PN masih belum berdaftar dengan JPPM.

Ia berdasarkan semakan sehingga jam 2.22 pagi 14 September 2020 ke atas nama ‘Perikatan Nasional’ atau ‘Prikatan Nasional’.

Permohonan untuk mendaftarkan PN sebagai gabungan parti, dilaporkan sudah dihantar kepada JPPMkira-kira sebulan lalu.

Post a Comment

0 Comments