TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia kerajaan Perikatan Nasional (PN), Zahidi Zainul Abidin digesa agar meletak jawatan.
Gesaan itu disuarakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng setelah Zahidi didakwa melanggar etika kerja, profesionalisme dan mencemar maruah rakyat.
Merujuk insiden 'buli' terhadap pelajar universiti di Sabah, Veveonah Mosibin, 18. Zahidi dakwa Guan Eng telah menyalahkan orang lain untuk menutup kegagalan sendiri.
Ia termasuk mensasarkan pemimpin DAP yang membangkitkan isu tersebut dengan dakwaan mempolitikkan isu berkenaan.
"Beliau (Zahidi) sering menyarankan orang lain agar tidak menyebarkan berita palsu dengan ungkapan 'tidak pasti, jangan kongsi'. Akan tetapi, beliau sendiri melanggar prinsip tersebut kerana telah berkongsi berita palsu berkaitan dengan kes Veveonah.
"Selepas meminta maaf atas dakwaan palsunya bahawa Veveonah telah menipu, Zahidi pula menyatakan akan menyiasat perkara ini secara mendalam untuk menentukan kesahihan dakwaan Veveonah," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Guan Eng berkata, DAP tidak pernah berjumpa Veveonah dan hanya memberikan ulasan selepas Zahidi menyerang pelajar tersebut dalam ucapan Dewan Negara.
"Kini Kabinet sendiri mempersalahkan Zahidi sebagai tidak wajar dan tidak tepat dalam menangani isu ini.
"Hakikatnya, Zahidi tidak boleh salahkan siapa-siapa sekarang kerana tindakan itu bagaikan meludah ke langit terkena ke muka sendiri," ujarnya lagi.
Sementara itu jelasnya, Zahidi telah hilang kredibiliti awam dan wajar diganti dengan individu lain.
Ia susulan pengumuman Zahidi bahawa kerajaan mahu mengenakan bayaran perkhidmatan di platform e-dagang sehingga KKMM mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa cadangan Zahidi itu tidak pernah dibincangkan.
"Dengan kenyataan KKMM, adakah ini bermakna Zahidi membuat kenyataan yang palsu? Sekali lagi beliau melanggar saranannya sendiri iaitu 'tidak pasti, jangan kongsi'
"Adalah perlu seorang lain yang lebih berwibawa dan berkemampuan menggantikannya sebagai Timbalan Menteri," kata bekas Menteri Kewangan itu lagi.