PEJABAT Perdana Menteri (PMO) ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) didakwa turut terbabit melindungi reputasi perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Perkara itu didedahkan saksi pendakwaan kesembilan, Shahrol Azral Ibrahim Halmi di Mahkamah Tinggi, seperti dilapor BH online.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB itu berkata, langkah itu susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula memuncak pada 2015. Akhbar Wall Street Journal menerbitkan artikel mengenai skandal penyelewengan syarikat tersebut.
Shahrol Azral yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada sesi pemeriksaan semula, turut mengingati pada waktu itu penjawat awam daripada Kementerian Kewangan juga menggunakan frasa 'Must Protect the PM.'
Ditanya lanjut sama ada beliau mengenali bekas Pengarah Urusan Apco Worldwide Malaysia, Paul Geoffrey Stadlen, Shahrol Azral berkata beliau diperkenal kepada lelaki itu oleh Jho Low.
"Beliau adalah 'orang PR' (perhubungan awam) bos (Najib) yang menguruskan urusan perhubungan awam dan persepsi awam untuk Najib," katanya.
Stadlen dilapor meninggalkan Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, dia dipercayai terbang ke London sebelum ke lokasi lain yang tidak diketahui.
Warganegara itu sebelum ini dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dalam kes 1MDB.
Sementara itu, Shahrol turut mengakui ada bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ketika itu, iaitu Datuk Hassan Ariffin dan satu atau dua yang lain di rumah pegawai PMO, Ahmad Farid Ridzuan dengan objektif untuk melindungi reputasi Najib.
"Sudah tentu keterangan saya kepada PAC dipengaruhi oleh idea untuk melindungi Najib. Faktanya ialah mana-mana keterangan yang mengaitkan nama Jho Low dipadamkan dan semua tanggungjawab bagi semua keputusan terletak di bahu saya," katanya.
Selain Najib, Shahrol turut dipetik laporan itu menjelaskan bahawa reputasi Low Taek Jho atau Jho Low turut menjadi keutamaan untuk dilindungi ketika itu.
0 Comments