Lim Kit Siang tanya status siasatan skandal MARA


PEMIMPIN
Senior, Lim Kit Siang mempersoalkan perkembangan siasatan skandal pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia.

Melalui satu kenyataan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mempersoalkan apakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terhadap kes itu.

“Adakah SPRM sedar bahawa identiti tokoh politik Malaysia yang disebut oleh portal media Australia Sydney Morning Herald, The Age dan The Sun, terlibat dalam skandal rasuah MARA membabitkan transaksi hartanah Australia?

“Sekiranya ya, mengapa SPRM tidak mengambil tindakan terhadap tokoh politik Malaysia yang paling berpengaruh itu? soalnya.

Penyelewengan mengenai pembelian hartanah yang dijadikan asrama pelajar di Australia pada 2013 itu mula dibangkitkan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli pada 2015.

Bangunan 12 tingkat Unilodge di Melbourne, melibatkan “syarikat lahu” (syarikat tanpa operasi atau shell company) di British Virgin Islands (BVI) dan dijual kepada Mara Inc pada harga A$41.8 juta (kira-kira RM138 juta) walaupun harga pasarannya pada sekitar A$23.5 juta (kira-kira RM77.6 juta).

Pada 2017, kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu memaklumkan bahawa kertas siasatan berhubung skandal yang menyebabkan Mara mengalami kerugian sedang berada dalam peringkat akhir siasatan SPRM.

Pihak berkuasa Australia hari ini dilapor merampas hartanah dan wang tunai berjumlah A$1.6 juta daripada seorang lelaki yang didakwa merasuh seorang pegawai Malaysia untuk pembelian hartanah itu.

Menurut laporan Sydney Morning Herald, hartanah dan dana itu milik pemaju hartanah Australia, Teen Boon Lye, isterinya dan syarikat swasta mereka.

Teen sebelum ini dituduh merasuh sekumpulan pegawai Malaysia untuk menjamin penjualan bangunan itu yang dikenali sebagai Dudley House.

Pendedahan Rafizi berasas
Sementara itu,  Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menegaskan, perkembangan terkini di Australia itu membuktikan apa yang didedahkan KEADILAN sebelum ini benar.

Susulan itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu mahu kerajaan mengikut jejak langkah Australia yang serius membanteras gejala rasuah dan penyelewengan.

Tegasnya, usaha mendapatkan kembali ratusan juta ringgit yang hilang dari Mara juga perlu dilakukan bagi menunjukkan ketelusan dalam mengurus wang rakyat.

Post a Comment

0 Comments