K'jaan HARAPAN berjaya lonjak pendapatan Negeri Sembilan


NEGERI SEMBILAN
mempunyai potensi yang besar untuk menjadi antara negeri maju setanding dengan negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata ia susulan kedudukan negeri itu berhampiran Lembah Klang dan disokong pelbagai asas termasuk pelaburan yang semakin  meningkat setiap tahun.

Memetik laporan Bernama, Mohamad Rafie berkata, kerajaan negeri optimis untuk mencapai sasaran nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion pada tahun ini, walaupun berhadapan dengan kekangan berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Negeri Sembilan terus menjadi pilihan pelabur apabila jumlah pelaburan sebanyak RM3.6 bilion dicatatkan pada 2019, meningkat sebanyak RM1.17 bilion daripada RM2.43 bilion pada 2018 dan telah mewujudkan 3,347 peluang pekerjaan.

“Pada 2017, sebanyak RM1.1 bilion jumlah pelaburan dicatatkan,” katanya dipetik laporan Bernama.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum ini menyasarkan dasar mesra perniagaan yang diamalkan kerajaan akan menarik lebih ramai pelabur asing dan domestik ke Negeri Sembilan sekaligus merangsang ekonomi dan peluang pekerjaan di negeri itu.

Sementara itu tambah Mohamad Rafie, Kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya melonjakkan jumlah pendapatan sebanyak RM556 juta pada 2019, melebihi sasaran ditetapkan sebanyak RM430 juta, dan jumlah itu meningkat berbanding RM413.46 juta pada 2018.

Kerajaan negeri turut merangka pembangunan berpaksikan Pelan Pembangunan Induk Ekonomi Negeri Sembilan yang merangkumi sektor perindustrian, pertanian dan keindahan biodiversiti negeri.

“Pelan induk ini amat penting kerana kita akan membangunkan Negeri Sembilan secara terancang dan teratur," tambahnya Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ampangan itu lagi.

Post a Comment

0 Comments