SELEPAS tidak sependapat dalam isu mengenai calon Ketua Menteri, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi dilihat tidak sehaluan.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Jumat Idris mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memberi kerjasama membantu pihaknya berkempen.
Menurutnya, sehingga hari ini, kerjasama daripada parti sekutu lain baik kecuali Bersatu sedangkan mereka merupakan dalam satu pakatan bersama.
“Cuma satu parti yang belum nampak memberi kerjasama iaitu Bersatu.
“Semoga mereka terbuka hati bekerjasama dengan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas di Majlis Ramah Mesra Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Ali bersama Pengarah BN Sabah Bung Moktar Radin.
Bagaimanapun ironinya majlis itu tidak dihadiri oleh Mohamed Azmin.
BACA: BN dan PN berantakan sebelum bertanding
Sebelum ini,timbul pergeseran berhubung calon Ketua Menteri sekiranya Warisan ditumbangkan di negeri itu.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menamakan pemimpin parti itu di Sabah, Hajiji Noor sebagai calon yang kemudian dikritik BN termasuk dari pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.
Berbanding gabungan PN, BN, Warisan Plus yang disertai Warisan, KEADILAN, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tidak berdepan isu dalaman.
Mereka terlebih dahulu menyelesaikan isu pengagihan kerusi dengan baik dan tidak timbul isu calon Ketua Menteri kerana berada dalam kedudukan mempertahan pentadbiran negeri yang cuba dijatuhkan pemimpin BN, Musa Aman baru-baru ini.
0 Comments