Agong ada hak tolak nasihat bubar Parlimen - Peguam



WALAUPUN Muhyiddin Yassin boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Dewan Rakyat, namun Agong tidak terikat  untuk mengikut nasihat itu, kata peguam Bastian Pius Verdargon.

Memetik laporan FMT, Verdargon menjelaskan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong melantik perdana menteri untuk mempengerusikan jemaah menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat atau pertimbangannya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahlinya.

Vendargon berkata, pelantikan itu mengikut budi bicara Agong dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Perdana menteri mesti meletak jawatan bagi membolehkan Agong melantik ahli Parlimen lain untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Beliau mengulas perkembangan politik terkini semalam susulan pengumuman Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
 
Vendargon berkata, terdapat preseden di mana Mahkamah Persekutuan dalam kes Perak menyatakan ketua kerajaan (perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri) mesti meletak jawatan sekiranya beliau kehilangan kepercayaan wakil rakyat yang dipilih secara majoriti.

“Sebilangan pemikir undang-undang menimbulkan keraguan tentang kebolehlaksanaannya pada Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan pusat,” katanya dipetik laporan itu.

Sebagai rekod, krisis perlembagaan Perak pada 2009 menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat ketika itu runtuh selepas 3 wakil rakyatnya mengisytiharkan diri sebagai Adun bebas mesra Barisan Nasional, memberikan BN majoriti di DUN.

Verdargon merujuk kes di Perak
Sementara itu, bekas hakim Gopal Sri Ram berkata mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai majoriti berhak menghadap Agong dan tidak terdapat keperluan untuk pembubaran Parlimen sekiranya seseorang Ahli Parlimen itu boleh membuktikan bahawa dirinya mempunyai majoriti.

“Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Rakyat kerana Agong boleh mempunyai kerajaan untuk menjalankan urusan pentadbiran negara,” katanya sambil menegaskan kerajaan akan dipimpin oleh individu yang memiliki majoriti Ahli Parlimen, dan Kabinet akan dibentuk untuk menjalankan kuasa eksekutif.


Post a Comment

0 Comments