PELUMBA Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales mendominasi sesi kelayakan perlumbaan Grand Prix Austria di Litar Red Bull Ring-Spielberg semalam bagi meraih petak utama.
Vinales yang menduduki tangga kedua kelas MotoGP setakat ini mencatat masa terpantas satu minit 23.450 saat sekaligus menjadi pelumba Yamaha pertama merebut 'pole' diatas litar itu sejak ia diperkenalkan sejak 2016.
Pelumba Ducati-Pramac, Jack Miller berada di kedudukan kedua dengan catatan masa lewat hanya 0.068s berbanding VInales.
Sementara pelumba sensasi yang juga pendahulu, kejuaraan Fabio Quartararo (Petronas Yamaha SRT) akan memulakan perlumbaan hari ini di petak ketiga.
Bercakap kepada media selepas tamat sesi kelayakan, Vinales berkata bahawa beliau merasa jenteranya yang lebih kompetitif minggu ini sekaligus membolehkannya mempamer tunggangan meyakinkan.
"Saya sangat gembira kerana objektif utama adalah untuk menduduki kelompok paling depan.
"Tetapi tiba-tiba saya berasakan prestasi jentera sangat baik dan pasukan melakukan tugas dengan cemerlang," katanya dipetik.
Moto2
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan berpengkalan di Malaysia, ONEXOX TKKR SAG Team membuktikan kemampuan pasukannya apabila mendominasi sesi kelayakan bagi kelas Moto2.
Pelumba mereka, Remy Christopher Gardner mencatatkan 1:28.681 untuk memulakan perlumbaan hari ini. Kejayaaan Gardner ini merupakan kejayaan kali kedua dengan kali terakhir ia dilakukan ialah pada kejuaraan di Assen pada musim lalu.
Jorge Martin (Red Bull KTM Ajo) lewat 0.036 saat dibelakang Gardner untuk berada di petak kedua dan pelumba Liqui Moly Intact GP’s, Marcel Schrötter akan berada di petak ketiga.
Sementara itu rakan sepasukan Gardner yang juga pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin akan memulakan perlumbaan di petak ke 30 dan Hafizh Syahrin (Angel Nieto Team) di petak ke 20.
Khairul Idham Pawi ( Petronas Sprinta Racing) yang akan berlumba dalam kelas Moto3 hari ini dilihat berdepan kesukaran apabila terus bergelut dengan kecederaan yang dialaminya menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Austria esok.
Khairul Idham atau dikenali dengan panggil Super KIP sekadar melakarkan catatan masa sepusingan 1 minit 38.713 saat ketika sesi ujian bebas untuk berada di kedudukan ke-30 keseluruhan manakala rakan pasukan John di kedudukan kedua (1'36.841).
Bagaimanapun pelumba Petronas Sprinta Racing itu tetap positif untuk terus memberi yang terbaik pada saingan seterusnya.
Super KIP mengalami kemalangan di Grand Prix Republik Czech, minggu lalu yang menyaksikan jari kelingking kanannya retak - kecederaan di bahagian tangan yang sama - sehingga dia terpaksa berehat panjang pada musim terakhirnya beraksi dalam kelas Moto2, tahun lalu.
0 Comments