Merdeka bukan sekadar kibar bendera - Anwar


SAMBUTAN kemerdekaan bukan sekadar diukur dengan slogan dan kibaran bendera semata-mata, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu perutusan sempena sambutan kemerdekaan, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, erti kemerdekaan mencakupi janji dan tekad  meraih kebebasan dan keadilan kepada semua kaum yang berada di negara ini.

Rakyat jelasnya tidak akan menikmati erti sebenar kemerdekaan sekiranya mereka masih dirundung kemiskinan dan merasa curiga antara satu sama lain.

"Apa erti merdeka jika jurang miskin dan kaya terus dibiar melebar, dan elit politik terus menampuk kekayaan?

“Dan apa maksud merdeka sekiranya rakyat atau warga di negara ini terus mencurigai antara satu dengan yang lain?” soal Anwar.

Melalui perutusan itu juga, Anwar mengajak rakyat meraikan merdeka dengan tekad dan semangat luar biasa membangunkan kembali negara dan terus melawan salah laku dan permusuhan anyara kaum.

“Mengulangi sikap rasuah, kepincangan, kebobrokan dalam aspek tatakelola; apakah itu boleh dikatakan memaknai semangat merdeka?

“Kita punya visi besar untuk tanah air tercinta yakni membangun Malaysia yang serba baharu, baik dari segi pemikiran, perekonomian, tadbir urus dan sikap.

“Selamat menyambut Hari Merdeka kepada seluruh anak watan. Merdeka!” tulis Presiden parti KEADILAN itu.

Post a Comment

0 Comments