PIHAK berkuasa negara ini digesa segera menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan bahawa Menteri dari PAS, Khairuddin Aman Razali ingkar untuk mematuhi perintah kuarantin wajib.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Mohd Fauzi Hashim berkata, kegagalan Khairuddin tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dibimbangi akan mewujudkan kluster baharu selain menyebabkan rasa tidak senang dikalangan rakyat.
Menurutnya, sekiranya rakyat boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas kerana ingkar mengikut peraturan kerajaan, mengapa Khairuddin tidak dikenakan tindakan serupa.
"Disebabkan itu kita menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan segera berhubung isu tersebut," katanya.
Mohd Fauzi berkata demikian selepas membuat laporan bersama pimpinan Pemuda Amanah negeri di Balai Polis Seksyen 6, di Shah Alam berhubung isu itu semalam.
Khairuddin sebelum ini didakwa tidak menjalankan kuarantin diri sendiri setelah pulang dari Turki pada 3 Julai lalu.
Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Parlimen.
Teresa berkata, sepanjang tempoh wajib kuarantin itu, Khairuddin bukan hanya hadir semasa proses pengundian bagi mengantikan Speaker Dewan Rakyat, malah Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menurutnya telah hadir dalam banyak program peribadi dan kementerian.
Khairuddin yang dipetik laporan media enggan mengulas dakwaan tersebut. Sambil menegaskan bahawa dirinya negatif wabak itu, Khairuddin mahu semua pihak menanti kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata, selain Pemuda Amanah Selangor, beberapa jawatankuasa pemuda parti itu di beberapa negeri lain seperti Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan turut membuat laporan berhubung isu berkenaan.
"Jadi kami harap polis dapat melakukan siasatan segera dan menyiasat Khairuddin berhubung isu ini," katanya.
0 Comments