LEBIH separuh dari ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kelantan dilapor akan meninggalkan parti.
Perkara itu didedahkan bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Negeri, Datuk Sazmi Miah seperti dilapor sebuah portal media tempatan semalam.
Menurutnya, 24,000 daripada 42,000 ahli parti yang ditubuhkan dengan tujuan asal untuk melawan Umno sebelum pilihan raya lalu akan meninggalkan parti itu secara berperingkat.
Semalam sahaja, lebih 5,000 nama daripada pelbagai peringkat ahli menurutnya telah menyatakan hasrat keluar parti serta merta.
"Saya mewakili ahli-ahli yang lain mengumumkan keluar parti berkuat-kuasa serta merta dan keputusan ini diambil selepas melihat perjuangan parti Bersatu yang kini semakin jauh menyimpang.
"Kami tidak boleh menerima keputusan kepimpinan tertinggi parti membawa keluar Bersatu dari Pakatan Harapan (HARAPAN) semata-mata untuk menubuhkan sebuah gabungan kerajaan baharu yang terdiri daripada parti yang kami lawan bermati-matian semasa PRU-14 lepas.
"Kami merasa lebih terhina apabila Bersatu diperlekehkan dan dijadikan seperti melukut di tepi gantang dalam kepimpinan di peringkat akar umbi oleh rakan baharu.
"Maruah Bersatu sudah tiada lagi, perjuangan dahulu terus dilupakan tetapi perjuangan mendapatkan ganjaran dan jawatan lebih diutamakan," katanya dalam satu majlis pengumuman keluar parti.
BACA: Lebih seribu ahli Bersatu keluar parti, 600 sertai KEADILAN
Sementara itu Sazmi berkata, dakwaannya bahawa sebahagian besar ahli Bersatu akan meninggalkan parti itu bukan pembohongan.
Sazmi mendakwa pihaknya mempunyai bukti kukuh melalui senarai yang ditandatangani mereka yang berhasrat untuk parti tersebut.
"Setiap cawangan kita ada senarai ahli yang keluar dan ini bukan penipuan. Saya yakin selepas ini ada yang akan mendakwa kita hanya beri nombor tertentu, tanpa bukti," tambahnya.
0 Comments