Koronavirus beri impak besar kepada B40

 
PANDEMIK
koronavirus (Covid-19) dijangka akan memberi 'pukulan' ekonomi terhadap golongan bawahan dan berpendapatan rendah di negara ini.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, berdasarkan data bermula Februari sehingga Jun, jumlah peratusan tidak bekerja meningkat dan kadar pengangguran dicatatkan meningkat kepada 4.9 peratus.

Pendemik itu jelasnya akan turut memberi impak ekonomi kepada golongan peniaga kecil dan graduan yang mencari kerja.

"Golongan 'Mak Cik Kiah' ini kalau dia tidak boleh buka kedai, dia akan hilang pendapatan dan modalnya tidak boleh digandakan. Tidak seperti mereka makan gaji, walaupun kehilangan pekerjaan, untuk tempoh enam bulan ada skim yang mampu membantu mereka," katanya.

Muhammed Abdul Khalid sebelumnya bercakap pada Live Facebook Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bertajuk 'Ekonomi Rakyat Pasca Covid-19' di sini hari ini.

Dianggarkan terdapat 2.3 juta rakyat di negara ini berada dalam kumpulan bekerja sendiri dan berpendapatan rendah.

Mengulas isu graduan, beliau berkata terdapat seramai 175,000 graduan yang menamatkan pengajian memasuki pasaran buruh.

"Apabila ekonomi menguncup, peluang pekerjaan juga terjejas. Mereka ini akan tertekan kerana syarikat tidak melabur dan sediakan peluang pekerjaan.

"Kadar kemiskinan juga akan meningkat kerana peluang pekerjaan semakin kecil dan ditambah dengan jumlah mereka menganggur dan kehilangan pekerjaan. Ini perkara yang perlu diperhalusi dan dilihat sebaik mungkin oleh semua pihak terutama kerajaan," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, impak Covid-19 kepada ekonomi Malaysia lebih buruk berbanding krisis ekonomi 1998 dan 2008 apabila ramai golongan bawah tertekan dengan keadaan semasa.

"Sektor ekonomi negara tidak berkembang dengan baik dan menguncup. Kedua, ekonomi Malaysia sebanyak 40 peratus ialah daripada pelaburan luar. Jika negara luar tidak rancak, kita juga akan seperti mereka," katanya.

Ketika mengulas isu kanak-kanak, beliau menjangkakan kanak-kanak terutama di beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang akan berdepan isu nutrisi makanan.

Malah pendemik berkenaan juga jelasnya turut memberi kesan kepada pendidikan golongan itu.

"Selain itu soal pendidikan pula kalau kita lihat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, 90 peratus pelajar di negeri-negeri miskin seperti Kelantan, Kedah dan Sabah tidak mempunyai komputer riba bagi tujuan pembelajaran. Isu pembelajaran ini kesannya panjang," katanya.

Post a Comment

0 Comments