Elak luka lama berulang kembali - AMK



PEMIMPIN parti gabungan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) diingatkan untuk mengambil kira pandangan akar umbi sebelum bekerjasama dengan parti baru yang akan ditubuhkan kumpulan Dr Mahathir Mohamad.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) melalui Setiausahanya berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan “luka lama berulang” selain memastikan kedudukan politik gabungan itu menjadi tidak stabil semula.

“Kami menyeru kepimpinan KEADILAN mengambil kira pandangan akar umbi sebelum membuat sesuatu keputusan, sama ada di peringkat KEADILAN mahupun HARAPAN.

“AMK percaya akar umbi masih terkesan dengan sikap yang ditunjukkan Mahathir terhadap janji peralihan kuasa sebelum ini,” kata Ahmad Syukri Ab Razak dipetik laporan FMT.

Dr Mahathir bersama kumpulannya pada Jumaat lalu mengumumkan penubuhan parti baru berasaskan perjuangan membela orang Melayu. Langkah itu susulan pertikaian dalaman parti Bersatu dan pembatalan keahliannya bersama beberapa ahli Parlimen dari parti itu.

Tambah bekas Pengerusi bersatu itu, parti barunya mengambil pendirian tidak bergabung dengan mana-mana pakatan politik.

Bagaimanapun, Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan penyertaan parti baru Mahathir dalam gabungan itu bagi menguatkan gerakan pembangkang, tetapi ia bergantung kepada permintaan kumpulan tersebut. 

“AMKmengharap parti tersebut benar-benar berdiri atas gagasan ingin membawa reformasi sebenar terhadap sistem pentadbiran negara, tidak sekadar menjadi platform untuk menjayakan cita-cita politik individu tertentu.” tambah Syukri lagi.

Post a Comment

0 Comments