Kalau ada rezeki, Hafizh ke Petronas SRT


PELUMBA Moto2 sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak meletak harapan terlalu tinggi untuk diserap ke dalam pasukan Petronas Yamaha SRT.

Menurut Hafizh, beliau enggan memikirkan perkara itu, sebaliknya mahu memberi fokus penuh kepada saingan di Moto2 yang sedang diharunginya musim ini.

"Kalau ada rezeki ada la, kalau tak ada, saya akan terus berusaha."

"Apapun saya tak letakkan harapan tinggi. Saya perlu fokus kepada saingan di Moto2 pada musim ini dulu," katanya ketika dihubungi laporan sebuah portal.

Hafizh yang kini berlumba untuk pasukan Inde Aspar, sebelumnya mengulas mengenai masa depannya di Kejohanan Motosikal Dunia musim depan.

Sebelum ini prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali mengakui berada dalam dilema sama ada mahu memilihnya atau Valentino Rossi untuk satu lagi tempat duduk di kelas MotoGP pasukan itu musim depan.

Razlan dipetik laporan Harian Metro baru-baru ini secara terbuka berkata, beliau percaya Hafizh akan memberikan aksi terbaiknya sekiranya terpilih beraksi bersama Petronas SRT di kelas MotoGP musim depan.

Tanpa memberi penjelasan terperinci, Razlan menegaskan bahawa Hafizh masih perlu catat keputusan terbaik pada perlumbaan akan datang.

Hafizh sementara itu mengakui bahawa dirinya tidak mengetahui bahawa dia disebut-sebut untuk dibawa ke Petronas SRT, namun berjanji akan berusaha sebaik mungkin jika diberi peluang.

"Saya sendiri pun tak tahu mengenai perkara itu. Sama-sama kita tunggu dan lihat.

"Kalau ada rezeki ada la. Andai dapat peluang itu, insya-Allah saya akan cuba sebaik mungkin untuk raih pencapaian lebih baik daripada sebelum ini.

"Keputusan yang Datuk Razlan ingin buat terserah kepadanya kerana itu adalah pasukannya, Buat masa sekarang saya hanya mahu fokus dengan apa yang saya ada," jelas Hafizh lagi.

Sebelum ini, portal media Itali, moto.it melaporkan bahawa Rossi dan Petronas Yamaha SRT sedang berusaha untuk memuktamadkan perjanjian pada pusingan seterusnya di Misano, pada 13 September ini.

Isu mengenai perjanjian itu telah lama dilaporkan, namun sehingga kini tidak dapat diselesaikan.

Meskipun Rossi sebelum ini yakin akan berhijrah ke Petronas Yamaha SRT musim depan daripada pasukan pengeluar Yamaha selepas tempatnya akan digantikan oleh Fabio Quartararo, namun masih belum ada kata putus daripada Razlan berhubung perkara itu.

Razlan menerusi laporan terbaharu mengakui bahawa beliau seorang yang patriotik dan sentiasa berusaha untuk menempatkan pelumba negara di kejohanan berprestij itu.

Post a Comment

0 Comments