Dr Noor Hisham kini bergelar Tan Sri


KETUA  Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dianugerahkan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Gelaran tersebut dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (hari pertama) yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya.

Menerusi laman Facebooknya, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, darjah yang dikurniakan itu merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan kerajaan kepada penjawat awam dan ia merupakan penghormatan kepada semua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Alhamdulillah. Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik Covid-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara," katanya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham menerima anugerah pingat kebesaran itu pada istiadat pengurniaan hari pertama yang berlangsung di Istana Melawati di sini hari ini.

Difahamkan, Selain Dr Noor Hisham, sejumlah besar petugas barisan hadapan dan warga KKM turut dikurnia pelbagai pingat.

Mereka mewakili pelbagai latar belakang, termasuk pakar perubatan, petugas kesihatan hinggalah ke petugas sokongan kesihatan seperti pemandu kenderaan, penolong pegawai tadbir dan pembantu perawatan kesihatan.
 

Post a Comment

0 Comments