KEHADIRAN Mohammed Azmin Ali dan sekutunya kedalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat belum mampu mengukuhkan parti itu.
Sebelum ini beberapa cawangan parti itu dilapor dibubarkan, malah ribuan ahlinya telah bertindak keluar parti.
Terbaharu, kira-kira 1,300 Ahli Bersatu di 14 bahagian Johor Bahru pula mengikut langkah yang sama.
Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media di Restoran Jaws Crown, Kempas, di sini, malam tadi.
Pengerusi Gerakan Jom Keluar Bersatu, Mohd Yusoff Ishak berkata, ahli-ahli yang keluar itu melibatkan akar umbi di kesemua 14 cawangan dalam Bahagian Bersatu Johor Bahru.
"Jumlah ini adalah teramai setakat ini berbanding minggu lalu apabila 1,000 ahli Bersatu Bahagian Pagoh diketuai pengasasnya, Abd Wahab Ibrahim memutuskan keluar parti.
"Kita berjaya mengumpul tandatangan Akuan Berkanun (SD) 1,200 ahli bahagian Johor Bahru yang membuat keputusan meninggalkan parti berkenaan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pusat," katanya dipetik laporan media.
Mohd Yusoff sementara itu berkata, beliau yakin lebih ramai ahli parti itu bakal meninggalkan Bersatu dalam masa terdekat susulan gelombang yang muncul setelah ahli-ahli adalah disebabkan tidak puas hati dengan cara kepimpinan Bersatu yang menafikan mandat rakyat.
"Sewaktu pilihan raya lalu, rakyat undi kita sebab Pakatan Harapan (PH), tetapi akhirnya pemimpin Bersatu buat keputusan bersama Barisan Nasional (BN). Ini menyebabkan kami mengambil keputusan drastik ini untuk keluar parti," tambahnya.
Sebelum ini ahli-ahli Bersatu Bahagian Simpang Renggam dan Kota Tinggi mengisytiharkan keluar parti diikuti bahagian Pagoh.
Sebelumnya beberapa ADUN parti itu di Selangor mengumumkan keluar Bersatu, manakala 13 bekas calon parti itu turut mengumumkan tidak lagi bersama parti itu.
BACA: Lebih seribu ahli Bersatu keluar parti, 600 sertai KEADILAN
BACA: Lebih separuh ahli Bersatu Kelantan mahu keluar parti
Pada 20 Ogos, 600 ahli parti itu di Teluk Kemang membuat keputusan menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan lebih separuh ahli Bersatu di Kelantan menyuarakan hasrat untuk meninggalkan parti yang ditubuhkan dengan matlamat asal menjatuhkan Umno itu.
0 Comments