PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan kebimbangan tentang nasib penjaja kecil di negara ini.
Bercakap di Parlimen, Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang berkata soal kebajikan golongan itu perlu ditangani sewajarnya kerana mereka adalah antara golongan yang paling terkesan dengan penularan wabak Covid-19.
Pembelaan sewajarnya bagi menangani masalah golongan itu tegasnya belum memuaskan, malah bantuan yang disalurkan sepanjang krisis Covid-19 lalu juga dilihat masih jauh dari mencukupi.
Justeru kata Anwar, kerajaan dan majlis perbandaran supaya membuat satu penyelarasan secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan golongan penjaja tidak terpinggir dengan sewenang-wenangnya.
“Bilangan penjaja di seluruh negara adalah ramai, jumlahnya beratus-ratus ribu dan memang ada bantuan, tetapi masih sedikit.
“Saya lihat ada keperluan menyelaraskan bidang kuasa pihak berkuasa tempatan bagi membela nasib penjaja . Saya percaya pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta majlis perbandaran perlu selaras mengenai perkara ini kerana bidang tugas kedua-dua pihak ini berbeza.
"Jadi saya mendesak satu penyelarasan menyeluruh, kerana golongan penjaja masih tidak mendapat pembelaan sewajarnya, walaupun ada langkah-langkah yang sudah diambil bagi memulihkan masalah," katanya.
0 Comments