MAJLIS Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) sudah bersiap sedia menggerakkan jentera bagi membantu Pakatan Harapan dalam menghadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Melalui satu kenyataan AMK berkata, beberapa perkara telah dibincangkan dalam mesyuarat bulanan yang berakhir semalam dan akan menjadi fokus utama untuk mereka mendepani PRN Sabah.
“Antaranya AMK menyokong penuh pendirian Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk mengguna pakai logo Keadilan (PKR) pada PRN akan datang," kata kenyataan itu.
AMK juga mencadangkan agar calon-calon muda daripada sayap parti itu diketengahkan pada PRN kali ini.
"AMK berpendirian agar prinsip pembahagian kerusi adalah berdasarkan kesaksamaan dan keadilan. Kepentingan untuk meletakkan calon-calon muda adalah bukti pembudayaan politik baharu masa hadapan.
“Angkatan Muda Keadilan berikrar akan terus mempertahankan prinsip Keadilan dan berjuang demi mengembalikan mandat rakyat," tambah mereka.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.
Sebelum ini terdapat cadangan agar parti sahabat Parti Warisan Sabah (Warisan) menggunakan logo Warisan pada PRN kali ini.
Bagaimanapun, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti itu memutuskan untuk bertanding di bawah lambang sendiri pada PRN Sabah bulan depan.
Menyentuh soal calon, Anwar dalam satu program di Port Dickson baru-baru ini berkata pihaknya akan berunding bersama Parti Warisan untuk pembahagian kerusi
"Kerana itu adalah tradisi supaya pembahagian kerusi lebih adil, dan kita akan memilih serta menentukan calon PKR yang berkelayakan dan berwibawa," jelasnya.
0 Comments