SERAMAI 30 saksi dijangka akan hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi bagi kes pengubahan wang bekas perdana menteri, Najib Razak yang dijadualkan bermula tahun depan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan yang dipetik satu laporan berkata antara yang bakal dipanggil ialah saksi daripada kes SRC International membabitkan RM42 juta yang telah di dengar dan keputusannya dibacakan sebelum ini.
Bagi perbicaraan terbaru ini, bekas Presiden Umno itu akan berdepan 3 pertuduhan pengubahan wang membabitkan RM27 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menetapkan perbicaraan bermula 2 hingga 12 Ogos 2021. Sebagai rekod, pada 28 Julai lalu, Najib disabitkan bersalah ke atas 7 pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang.
Beliau dibenarkan menangguh hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Manakala pihak pendakwaan turut dilapor mengemuka rayuan bagi meningkatkan lagi hukuman terhadap Najib
0 Comments