SEORANG wanita yang juga pembantu bekas menteri mendakwa diherdik dan diperlaku kasar ketika disoal siasat sebagai saksi oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siti Nurul Hidayah, pembantu kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mendakwa salah seorang pegawai agensi anti-rasuah itu hampir menamparnya, manakala seorang lagi menyepak kerusi yang didudukinya dengan kuat, merampas dan membalik telefon bimbit miliknya.
Dia turut berkata digelar “babi” dan “bodoh” dalam sesi soal siasat kes kehilangan RM250,000 di rumah Syed Saqqid itu.
“Kemudian mereka meminta saya berdiri sebelah kaki dan angkat kedua tangan ke atas dan jika penat boleh tukar kaki yang lain.
“Mereka juga katakan saya layak hidup sebatang kara disisih keluarga semata-mata tak puas hati dengan jawapan saya,” katanya dalam satu sidang media semalam.
Tegas Nurul, sebagai saksi beliau tidak seharusnya diperlaku sedemikian.
“Sepatutnya ambil penyataan saya sebagai saksi, bukan suspek nak takutkan saya untuk berikan jawapan dikehendaki," tambahnya sambil mendakwa tidak dibenarkan berjumpa peguamnya selepas tidak selesa dengan layanan pegawai SPRM yang menyoal siasatnya.
Bukan sekadar itu, Nurul juga mendakwa ketika sesi soal siasat itu, beliau dikerumuni kira-kira 4 hingga 5 pegawai lelaki dan lampu dimatikan ketika sesi tersebut.
Nurul juga mendakwa dia dipaksa menjawab soalan mengenai kehidupan peribadi Syed Saddiq dan percaya taktik pegawai berkenaan adalah untuk menekannya supaya mengakui maklumat yang melibatkan bekas menteri berkenaan.
Bagaimanapun, Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali yang dipetik laporan FMT menolak tersebut.
Norazlan berkata sepanjang proses rakaman pernyataan dibuat, beliau telah ditemani 2 pegawai wanita sepanjang masa.
Semalam, bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin menggunakan agensi anti-rasuah itu untuk menekan ahli politik pembangkang.
Pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya, Mahathir memberi amaran sekiranya taktik yang digunakan pada era Najib Razak ini tidak dihentikan, beliau akan mendedahkan semua salah laku mereka.
0 Comments