KONGRES Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan bahawa jawatan utama dalam agensi kerajaan wajar diisi penjawat awam, bukan individu berkepentingan politik.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, ia bagi memastikan tindakan yang bakal dibuat agensi tersebut kelak tidak berat sebelah.
“Penjawat awam sentiasa mengamalkan sikap berkecuali dan neutral ketika menjalankan tugas demi rakyat dan negara
“Semasa peralihan kerajaan berlaku sebelum ini, Cuepacs telah mencadangkan kerajaan supaya melantik anggota perkhidmatan awam bagi mengisi kekosongan jawatan tertinggi dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara ketika itu.
“Ini kerana dari segi kebolehan dan kewibawaan sudah terbukti anggota perkhidmatan awam sememangnya layak berdasarkan pengalaman dan latar belakang pendidikan mereka ,” katanya dipetik laporan sebuah portal.
Mengulas lanjut, Adnan berkata penjawat awam tidak mahu dan tidak sewajarnya tersepit dalam mana-mana permainan politik.
Bagaimanapun tegasnya penjelasan mengenai jawatan dalam agensi kerajaan ini dibuat secara umum.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mendakwa ada usaha untuk menggantikan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dengan seorang ahli politik.
0 Comments