Penjelasan Khalid dan Anthony cemarkan dirinya


ULASAN | Amanah melalui Pengarah Komunikasi Khalid Samad dan DAP melalui Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke telah mengeluarkan kenyataan bersama sebagai menjelaskan kedudukan apa yang berlaku dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) setelah KEADILAN memutuskan menolak Mahathir sebagai perdana menteri.

Menurut kenyataan Khalid dan Anthony, pelan kedua mencadangkan Mahathir sebagai Perdana Menteri dibuat apabila Anwar gagal mendapat nombor untuk bentuk kerajaan. Dakwa mereka Anwar gagal mempengaruhi GPS Sarawak.

Yang sedikit saya berasa pelik kenapa dikenakan syarat itu untuk mengangkat Anwar jadi perdana menteri. Kenapa tidak disepakati agar Anwar terus jadi Perdana Menteri sama ada beliau dapat mencari nombor atau tidak.

Dan apakah Khalid dan Anthony yakin Mahathir pula berjaya mendapatkan nombor? Cara itu tidak praktikal dan ia mendatangkan masalah kepada HARAPAN seperti berlaku kini.

Khalid dan Anthony sepatutnya tidak mencari-cari (sokong) pelan kedua apabila pelan pertama itu gagal. Pelan itu seharusnya tidak perlu pun dibincang.

Kenyataan media mereka juga seperti mahu menyalahkan Anwar kerana tidak mematuhi persetujuan dicapai dalam mesyuarat majlis presiden berkait pelan kedua itu?

Kita memahami kenapa kalau Anwar tidak sedia akur, tentu ia dibantah oleh partinya. Anwar dalam hal ini lebih utamakan partinya daripada mengejar jawatan perdana menteri bersyarat itu. Beliau mengambil sikap itu kerana tidak sanggup melihat ada lagi kekawan meninggalkannya. Apa yang dilakukan terhadap Anwar cukup memerit dan memilukan.

Kalau Khalid dan Anthony bijaksana beliau sepatutnya mempengaruhi Mahathir agar memberi nombornya kepada Anwar, sebagai balasan dan juga penebusan dosa atas kesalahan Mahathir melepaskan jawatan tempoh hari sehingga meruntuhkan kerajaan HARAPAN.

Apakah bagi Khalid dan Anthony tidak ada kecacatan kepada Mahathir walaupun beliau telah melakukan kesilapan besar?

Dalam hal ini tindakan Khalid dan Anthony yang cuba menjelaskan keadaan dan mengelak daripada dikritik, adalah SALAH, bahkan penjelasan mereka itu menjadikan wajah politik mereka huduh.

Perlahan-lahan penghormatan orang kepada mereka sebelum ini terhakis. 

MOHD SAYUTI OMAR merupakan penulis dan penganalisis politik semasa di Malaysia
Tulisan ini pertama kali disiarkan di laman Facebook peribadinya dan  ia tidak  mencerminkan pendirian rasmi Kartel.

Post a Comment

0 Comments