HARAPAN cabar lantikan Speaker DUN Melaka


GABUNGAN Pakatan Harapan (HARAPAN) di Melaka telah memfailkan saman bagi mencabar keabsahan pelantikan speaker, timbalan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Bekas Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, saman tersebut difailkan pada 17 Mac di Mahkamah Tinggi Negeri Melaka ke atas Ketua Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh (speaker baru) dan Adun Rim Ghazale Mohamad (timbalan speaker).

Saman tersebut juga difailkan terhadap Ketua Umno Tangga Batu Mohamad Ali Mohamad (anggota dewan negara baru).

"Seperti mana yang kita sedia maklum, persidangan DUN ada beberapa keabsahan yang perlu dijelaskan kerana sidang awalnya telah ditangguhkan oleh Speaker Omar Jaafar.

"Namun kita dimaklumkan bahawa terdapat sidang baru dengan pelantikan speaker, timbalan speaker dan anggota dewan negeri telah diadakan.

"Kita melalui HARAPAN Melaka menerusi Omar Jaafar dan Wong Fort Pin telah mulakan saman di Mahkamah Negeri Melaka untuk memastikan bahawa perlembagaan dan undang-undang dalam tentukan keabsahan DUN Melaka.,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung semalam.

Pada 11 Mei lalu, Persidangan DUN Melaka bertukar kecoh setelah beberapa Adun berlainan parti dilihat bertikam lidah ekoran perbahasan panas mengenai usul melucutkan Omar sebagai speaker. susulan itu Omar telah membuat keputusan menangguhkan sidang tersebut.

Susulan itu, Adun Perikatan Nasional (PN) telah membuat ‘persidangan’ lain yang seterusnya melantik Speaker dan timbalan Speaker baru.

Sementara itu, Omar yang turut berada pada sidang media berkenaan menjelaskan bahawa beliau bertindak menangguhkan persidangan DUN pada ketika itu setelah keadaan tidak terkawal.

“Keadaan huru-hara jadi sampai peringkat tak boleh dikawal.Jadi saya gunakan peraturan dalam Perlembagaan Negeri perkara 34 (8). Perkara itu secara ringkas menjelaskan sekiranya berlaku haru-biru yang besar, speaker boleh tangguhkan mesyuarat.

“[…] Setelah itu mereka secara sewenang-wenangnya memilih Ab Rauf sebagai Speaker seterusnya Ghazale sebagai timbalan dan lantik Mohamad Ali sebagai senator.

“Jadi peguam berpendapat bahawa ketiga-tiga pemilihan itu tidak sah dan ultra bias kepada Perlembagaan Negeri,” katanya lagi," katanya.