NUTP cadang sekolah rendah dibuka hujung September


KESATUAN
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) mencadangkan pembukaan sekolah rendah dilaksana seawal-awalnya pada hujung September ini.

Presiden Aminuddin Awang berkata para guru tetap bertugas menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian dari rumah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan mereka kini bersedia dipanggil bertugas seperti biasa.

“Bila Covid-19 sudah reda, kita harap sebelum berakhirnya bulan September atau Oktober, sekolah rendah juga dibuka bagi membolehkan para guru dan pelajar kembali ke sekolah bagi meneruskan sekolah seperti biasa,” katanya dalam temu bual khas Bernama 745 di Bernama TV semalam.

Bagaimanapun menurut Aminuddin, keputusan itu ia tertakluk kepada keadaan semasa Covid-19 negara serta keputusan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam pada itu, Aminuddin turut mencadangkan penambahbaikan aspek pedagogi dan prosedur operasi standard (SOP) sistem pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah iaitu hanya 4 mata pelajaran teras yang diajar manakala selebihnya diajar secara maya.

Beliau turut mencadangkan waktu persekolahan bagi sesi pagi dimulakan pada 8 pagi hingga 12 tengah hari dan sesi petang bermula 1 petang hingga 5 petang.

“NUTP yakin dengan kepelbagaian kemudahan dan kemahiran guru sekarang ini, guru mampu untuk merealisasikan impian itu,” katanya.