JENAZAH bapa kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, sempurna dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sawah, Chuah pada jam 10 pagi tadi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengimamkan sendiri solat jenazah bapanya yang dihadiri kira-kira 100 jemaah di pekarangan rumah bapanya pagi tadi.
Allahyarham Harun Selamat berusia 106 tahun menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Pachitan di Port Dickson kira-kira jam 7.45 malamsemalam susulan sakit tua.
Memetik laporan Sinar, Aminuddin ketika ditemui pemberita berkata, kehilangan Allahyarham sangat dirasai lebih-lebih lagi beliau telah kehilangan ibu sejak tahun 2007 lagi.
"Arwah adalah sumber inspirasi kepada saya. Arwah selalu berpesan bagaimana perlu berusaha dan jangan berputus asa kerana bukan mudah untuk dapat nikmat sesuatu melainkan dengan pengorbanan dan kesusahan.
"Arwah juga selalu mengingatkan supaya berbakti kepada tanah yang akan beri keuntungan pada masa depan," katanya.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan beberapa pemimpin politik termasuk dari PAS dilihat hadir pada majlis pengkebumian tersebut.
Turut hadir menziarahi jenazah arwah, Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad.
Ahli Parlimen Port Dickson , Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di ibu negara berkongsikan berita sedih kematian Harun di laman Facebooknya malam tadi dan menitipkan ucapan takziah buat keluarga Aminuddin.
0 Comments